Generasi MTV
Jun 21, 2007 by: zen nonDi dalam proses globalisasi era milenia ini, satu fenomena tempatan yang berakar umbi dari sikap buruk manusia telah berevolusi tunjang terasnya menjadi isu pokok masalah bumi. Fenomena ini berlaku apabila persaingan 6.25 bilion penduduk bumi untuk membentuk satu entiti yang rasmi; yang mana entiti ini mempunyai satu matlamat utama iaitu mencari wang. Jalan mudah, jalan susah, generasi kini tiada halangan asalkan hasrat dicapai. Maka timbullah pelbagai karenah etnik yang diterangi oleh satelit-satelit media yang berserakan di lapisan stratosfera bumi.
Kenyataannya adalah kira-kira 81% atau 5.25 bilion penduduk bumi hidup di dalam kelas kemiskinan. Perjalanan merentas dunia dari Hongkong ke China, India, Pakistan, Afghanistan, Rusia dan negara-negara pecahannya akan membuktikan kesahihan statistik ini. Di Malaysia, empat generasi pasca merdeka sekarang ini di bawah pentadbiran generasi kedua. Generasi ketiga kini menyaingi generasi kedua memandu masa depan negara yang mana jurang antara dua generasi ini dipisahkan oleh 20 tahun proses “booming” teknologi maklumat. Corak atau paten pemikiran semenjak generasi ketiga berkembang begitu pesat didokong oleh pengetahuan penggunaan alat-alat elektronik terkini untuk penyebaran maklumat serantau. Di sinilah fenomena yang diperkatakan bersemi.
Jika pembaca memerhatikan langit malam yang terang, akan kelihatan kelipan jutaan bintang. Ada bintang yang kerdipannya begitu terang hingga menjadi penunjuk jalan dan ada yang hanya sekelip kemudian hilang dari pandangan.
Oleh disebabkan seluruh bumi boleh dipandang sekarang, semua orang berpeluang untuk menjadi bintang yang dikerumuni oleh berbilion planet yang kelam. Walaupun hanya sekelip sahaja, orang sekarang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi bintang. Maka taikun-taikun media tidak melepaskan peluang memenuhi kehendak global ini dengan pelbagai program media memuja bintang. Setiap hari penduduk bumi akan disuap dengan input-input media ini, semenjak wujudnya peti televisyen. Secara subversif, minda generasi televisyen kini telah dikelabui dengan kemewahan, perempuan dan pengajaran kesusahan.
Amnya, generasi kedua, ketiga dan keempat pasca merdeka Malaysia secara tidak sedar telah diserang oleh fenomena ini. Seperti anai-anai yang memakan pasak rumah, masa telah menjalankan kerjanya. Tiang hancur, atap ranap, rumah roboh.