Masalah Dunia - kemaskini pada 8.2.10

Jan 16, 2008 by: zen non

Dunia ini bakal kekurangan makanan. Tanda-tanda kecil sudah pun kelihatan. Mesej ini bukan satu ugutan. Malah senang kukatakan hanya satu persinggahan.

Apabila berjalan manusia perlukan makanan. Beras, gandum, jagung, oat dan barli. Lima bijiran makanan utama. Lima bijiran untuk merentas benua. Lima bijiran mungkin ditaburkan oleh baginda ayahanda.

Seperti manusia, haiwan ruminan juga makan bijiran. Seandainya manusia itu bijaksana, pastikan dia mengurangi makan daging. Mungkin hingga ke tahap sebulan sekali. Maka hasilnya adalah permintaan daging yang kurang. Selanjutnya mencukupkan bekalan bijiran untuk semua dari Peru hingga ke Afrika. War-warkan ikan sebagai sumber protein utama. Selain mempromosikan kekacang seperti soya dan tanah hitam bernama "terra preta".

Terra preta do indio nama diberi, tanah hitam India nama serasi. Terra preta ditemui oleh seorang ahli kaji tanah Belanda bernama Win Sombroek (1).

Tanah ini tersebar bertumpuk-tumpuk di serata Lembangan Sungai Amazon di dalam Tanah Amozonia. Luas setiap tumpukan adalah di antara dua ke tiga ekar dan ada juga yang mencapai keluasan 30-40 ekar. Lapisan tanah hitam ini seumpama tahi lalat pada kulit manusia yang mulus. Hitam yang tebal menyimpan rahsia. Rahsia dibongkar oleh seorang anak petani yang zaman kanak-kanaknya telah menempuhi kebuluran ketika Perang Dunia Kedua.
Sebidang tanah hitam ini lebih subur daripada tanah Amazon biasa di sekelilingnya. Ketebalan dua meter (6.5 kaki) bunga tanah terra preta kaya dengan zat-zat makanan utama untuk tumbuhan. Oleh yang sedemikian, tumbuhan yang hidup di atas tanah Amazon biasa lebih kerdil berbanding tumbuhan yang membesar dengan terra preta. Bukanlah suatu yang memeranjatkan pun apabila kita mengetahui bahawa bunga tanah Amazon biasa hanyalah setebal 20cm(8 inci) sahaja.

Berlori-lori tanah hitam diangkut dari kawasan penimbunan sampah. Tanah itu perlu sampai ke rumah-rumah.

Suri-suri menanam padi,
Padi ditanam di sekitar halaman,
Hari-hari menyiram budi,
Anak-anak budiman bergelar insan.

Senario idaman memanglah indah. Kalau padi boleh ditanam di rumah, pastikan mewah para keluarga; pastilah murah beras dan nasi.
Situasi hakiki bukanlah cantik. Hampir 3 juta tan permintaan beras negara saban tahun. Beras simpanan tahun 2008 hanyalah 18% daripada keseluruhan permintaan. Amat sedikit yang ditabung untuk detik-detik kecemasan. Mungkin lain-lain negara mengalami masalah yang sama. Permintaan bijiran yang tinggi di dunia jadi ukuran. Jumlah keseluruhan penggunaan bijiran di seluruh dunia pada tahun yang sama adalah sebanyak 1,772 juta tan. Walaupun pengeluaran keseluruhan bijiran tahun itu adalah 1,793 juta tan, namun ketara gentingnya dunia mencari makan.

Bukan sahaja manusia yang makan bijiran. Itulah punca dunia tidak cukup makanan.
Bukan sahaja bijiran yang dimakan oleh manusia. Itulah cabaran mengenyangkan semua orang.

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku hidup bukan di dalam lautan yang menenggelamkan. Aku bernafas di atas tanah yang berhutan duri yang perlu ditebas jika mahu membuka jalan.

Dengan kapak, dengan parang, dengan pedang dan dengan senapang manusia mencari jalan untuk membuka tanah. Dengan huduh dan dengan yang indah-indah lansdskap bumi dilukis semula oleh manusia.

Tanah hitam, tanah perang, tanah merah dan warna-warna di antara mereka. Tidak terbilang zat berkhasiat terkandung di dalam setiap jenis tanah. Aluvium, misalnya; mampu menundukkan padi di bendang yang luas terbentang. Inilah bunga tanah yang menyuburkan banyak negara dan bangsa. Lapisan bawah aluvium menakung air sementara di atas bercampur lumpur.

Satu replikasi sawah mini pasti jadi sensasi seluruh negeri.

Namun berangan aku tidak mahu.

Rujukan

Filed under: