Siri Kisah Penuntut Ilmu - Pendahuluan

Jan 21, 2008 by: zen non

Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup

Bab 0 - Pendahuluan

Ilmu yang paling tinggi adalah ilmu ketuhanan. Orang yang benar-benar mengetahui dan mengenali Tuhan yang sebenar, hidupnya adalah di antara harapan dan ketakutan. Harapan utamanya adalah untuk dapat bertemu dengan Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. Manakala ketakutannya kepada Tuhan Yang Maha Mengawasi adalah begitu kuat sehinggakan dia sangat berhati-hati dalam setiap langkah yang diambilnya supaya tidak melakukan kesalahan. Jika tersilap langkah, lekas-lekaslah dia memohon keampunan dan menyesali kesalahan itu walaupun di mata orang lain tidak kelihatan pun apa-apa. Begitulah keadaannya orang yang memiliki ilmu ini.


Para rasul dan nabi menguasai ilmu ini. Kemudiannya para rasul akan menyampaikan pengetahuan mereka kepada umat masing-masing supaya ilmu ini dapat dipelajari oleh semua kaumnya walaupun ada yang hanya mampu mempelajari setakat satu dua kalimah sahaja. Kesukaran untuk menguasai ilmu adalah kerana ianya memerlukan kepercayaan dan keyakinan yang kuat bahawa Tuhan itu ada dan Tuhan itu adalah satu, iaitu Allah Subhanahuwataa’la. Kemudiannya, dengan iman yang kuat inilah seseorang dapat menghayati dan mengamalkan ajaran yang disampaikan oleh Allah kepada manusia melalui amanat para rasul.

Bagaimanapun, di dalam kisah perjalanan manusia yang amat panjang, bukanlah semua orang beriman kepada Allah. Ada di antara manusia yang langsung tidak mempercayai bahawa Tuhan itu wujud sepanjang hidupnya di dunia ini. Ada juga yang mempercayai Tuhan itu ada, tetapi mereka menyembah selain dari Allah. Malah lebih teruk lagi, ada segelintir manusia yang berani mengaku dirinya adalah Tuhan seperti Firaun dan Namrud. Orang yang beriman pula, tidak semua yang benar-benar patuh kepada ajaran Allah. Ada yang beriman, tetapi tidak takut untuk melakukan dosa. Ada juga orang yang beriman, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam mengamalkan apa yang dipelajari. Dan ada yang beriman, tetapi tidak berusaha mempelajari agama Islam yang diajarkan oleh Allah melalui rasul-rasulNya. Begitulah susahnya untuk menguasai ilmu yang paling tinggi ini.

Sungguhpun demikian, Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih menyediakan segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh manusia untuk mentadbir bumi ini. Air, angin, api dan tanah adalah pemberian Allah kepada manusia untuk digunakan dengan penuh kesyukuran. Daripada elemen-elemen utama inilah, hujan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan mineral bumi terhasil. Dia Yang Maha Mengetahui melengkapi setiap manusia dengan nafsu dan akal, dua peralatan yang sangat berguna untuk manusia mempunyai kehendak yang mampu dilaksanakan meskipun wujud keterbatasan kebijaksanaan.
Tidak cukup dengan itu, Allah Taala sedia mengampunkan kesalahan yang dilakukan oleh setiap manusia. Tidak kira sebesar mana pun kesalahan itu, jika manusia benar-benar ikhlas memohon keampunan dan berusaha ke arah kebaikan, Allah akan ampunkan.

Ilmu ketuhanan hanya boleh dicapai melalui pengetahuan tentang Islam, satu-satunya agama yang benar di sisi Allah. Segala susah payah manusia telah disediakan hadiah untuk mereka yang berjaya di dalam ujian di atas muka bumi ini. Ganjaran untuk mereka ini adalah hidup gembira selama-lamanya di dalam sebuah tempat yang dinamakan syurga. Di dalamnya, ada sungai yang mengalirkan susu dan madu, ada buah-buahan yang tidak terbayang keenakannya, istana-istana yang diperbuat dari permata syurga untuk kediaman, dayang-dayang dewi syurga yang melayan setiap kehendak dengan patuh, isteri yang kecantikannya berjuta cahaya, malah ada apa sahaja yang diminta. Dan hadiah yang paling besar di syurga adalah dapat bertemu dan berbicara dengan Allah, Raja sekalian alam.

- pendahuluan tamat –