Kisah Perjalanan Manusia
Nov 26, 2007 by: zen nonPerjalanan manusia merentas masa bermula ketika Nabi Adam alaihissalam menjejakkan kakinya kali pertama di muka bumi pada hari Jumaat. Hakikat sebenar di mana bermulanya perjalanan yang panjang ini tiadalah pernyataan jelas mengenainya. Pendapat dari Ibnu Hatim menyatakan Nabi Adam turun ke bumi yang pertama kali dipijak adalah tanah yang bernama duhna. Tanah ini terletak di antara Mekah dan Thaif. Ibnu Umar dan Abu Hatim pula mengatakan bahawa Adam diturunkan di bukit Safa dan Hawa di Marwah. Al-Hasan berkata bahawa Nabi Adam mula turun ke bumi iaitu tempat yang berada di India, Hawa di Jeddah dan Iblis di Dustimyan, suatu tempat beberapa batu dari Basrah.
Menurut as-Suda katanya bahawa Adam diturunkan di wilayah India. Adam turun bersama Hajar al-Aswad dan segenggam dedaunan syurga. Dedaunan itu lalu ditaburkan di tanah India, kemudiannya ia tumbuh menjadi pepohonan yang bermutu tinggi. Abdul Razak dari A’mar, dari Auf, dari Qusamah bin Zuhair dari Abu Musa al-Asya’ri, beliau berkata Allah membekalkan Adam dengan pengetahuan cara-cara membuat segala sesuatu dan diberi buah-buahan dari syurga. Jadi buah-buahan yang kamu rasakan hari ini berasal dari syurga. Bezanya buah-buahan ini yang tumbuh di bumi telah berubah rasanya manakala di syurga tidak berubah. Begitulah yang dikisahkan.
Puncak Adam (2,243 meter) merupakan sebuah gunung di Sri Lanka yang mempunyai pemandangan yang sangat indah pada dua masa yang berbeza. Di kala subuh, kemunculan jejari cahaya di timur sehinggalah cahaya pagi menjelang merubah warna langit adalah pementasan alam yang menawan perasaan. Di sebelah barat, matahari senjakala pula akan mempersembahkan kecantikannya. Di sini jugalah terabadi sebuah tapak kaki manusia yang mana panjangnya 5 kaki 7 inci dan lebarnya 2 kaki 6 inci.
Menurut mitos orang Hindu, tapak kaki itu adalah milik dewa Shiva dan mereka menamakan gunung itu sebagai Shivan Adi Padham. Kepercayaan Buddha seawal abad ke 300 Masehi pula menyatakan bahawa ianya ditinggalkan oleh Buddha, sementara orang Kristian Portugis yang tiba di pulau ini pada abad ke-16 Masihi mendakwa ia adalah tapak kaki St. Thomas yang mengikut dongengan mula-mula mengembangkan agama Kristian di Sri Lanka. Kemudian pengembara-pengembara Arab yang menyaksikan tapak kaki ini menyatakan bahawa ia adalah milik Nabi Adam, di mana disinilah mula-mula baginda diturunkan kerana keindahannya. Bagaimanapun, sekarang ini, tapak kaki tersebut telah ditutup dengan ukiran batu oleh orang China dan hanya satu replika tapak kaki sahaja yang kelihatan.
Di dalam Al Quran mahupun hadis tidak dinyatakan dengan tepat di mana Nabi Adam mula-mula sekali menjejakkan kakinya di muka bumi ini. Oleh yang demikian, ini bermakna di mana tempat permulaan baginda tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. ketika mula-mula diturunkan ke bumi.
bersambung minggu hadapan....Insya Allah
Rujukan: Kisah Para Nabi: Teladan bagi Orang yang Berakal nukilan Ibnu Kathir (terjemahan Bahasa Melayu oleh panel penterjemah dan disemak oleh Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Agama Istana Negara)