Mar 8, 2008 by zen non
Update Time: Fri. 4:51am, 26 March 2008 (Please correct me if I am wrong)

This is the first time I write about politics. To me, politics was a difficult war field even to understand a few years ago. Nonetheless, until now I did not laid adequate effort to study politics neither local nor globally. I have been focusing my audio-vision to learn about the history of mankind. But tonight on the eve of Pilihan Raya Utama 2008 (PRU08) I had made my mind to at least wrote once about it.

“The journey of mankind were too long apart like dry land blown by the wind.
Along the trails are gold dust that glisten in the clouds. Men of honor are leading the ways.”

In the Furqan there are many stories of honorable men, told by Allah as a teaching to mankind. These great men were led by twenty-five Rasul and kings and peasants. Their stories made it into the Quran because they had been tested with great tests and yet they face it with heart of steel; upon their struggle were their stories.

Lelaki pertama yang diceritakan di dalam al-Quran adalah Nabi Adam a.s. Bagindalah yang memulakan tamadun manusia di atas muka bumi ini. Bagindalah bapa pertama yang mendidik jalan anak-anaknya supaya senantiasa berjalan ke syurga. Bagindalah yang telah berjalan di atas muka bumi ini selama 960 tahun umurnya menaburkan pelbagai jenis benih dengan harapan benih-benih ini sampai ke generasi terakhir manusia.

Ilmu Nabi Adam a.s. datang terus dari masanya ketika bersama Allah Taala di syurga. Kemudian, ketika berada di bumi, Malaikat Jibril tidak henti-henti datang mengajar Nabi Adam a.s. dan nabi-nabi selepasnya akan petunjuk dan ilmu dari Allah sebagai pedoman dan ikutan manusia dalam menjalani dugaan hidup di bumi ini.

Petunjuk ini datang berterusan beribu-ribu tahun lamanya sehinggalah selesai di hayat Nabi Muhammad ibnu Abdullah ibnu Abdul Mutalib ibnu Hashim ibnu Abdul Manaf ibnu Qusai ibnu Kilab ibnu Murra' ibnu Ka'b ibnu Lu'ay ibnu Ghalib ibnu Fahr (Quraisy) ibnu an-Nadr ibnu Kinana ibnu Khuzaimah ibnu Mudrikah ibnu Ilyas ibnu Mudhar ibnu Nizar ibnu Ma'ad ibnu Adnan ibnu Ismail a.s. ibnu Ibrahim al-Khalil a.s. ibnu Tarikh ibnu Nahar ibnu Sarugh ibnu Raghau ibnu Faligh ibnu Aabir ibnu Soleh ibnu Arfakhsyaz ibnu Saam ibnu Nuh a.s.ibnu Lamaak ibnu Matausyelakh ibnu Khanaukh (Idris a.s.) ibnu Yarud ibnu Mahlayal ibnu Qainan ibnu Anausy ibnu Syeets ibnu Adam 'alaihis salam.

Ajaran Allah SWT kepada manusia yang bermula dari nafas pertama Nabi Adam a.s. sehinggalah tamat pada umur 63 tahun Nabi Muhammad SAW, Rasullullah, nabi yang terakhir iaitu pada tahun 632 Masehi. Ajaran Allah SWT diakhiri dengan ayat 3 surah al-Maidah (Al-Quran 5:3), maksudnya:

"Pada hari ini telah Aku (Allah SWT) sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagi kamu."


Ilmu membuka tanah, berpendudukan dan bernegara pastinya telah diajarkan sejak zaman Nabi Adam a.s. lagi. Tidak lagi akan dibuat tanah melainkan apa yang ada dan menguruskannya adalah tanggungjawab manusia. Manusia sendiri bagaikan sekeping tanah yang diperdirikan dengan air untuk berjuang menentang Iblis. Iblis adalah musuh utama para manusia. Maka mengelakkan Iblis bertakhta di hati juga adalah perihal menguruskan tanah kerana manusia berasal dari tanah. Bapa kita Nabi Adam a.s. diperbuat dari sebatian tanah yang hitam, merah, putih dan warna-warna di antaranya dan digaul dengan air. Kemudiannya setelah berbentuk manusia maka ditiupkan roh. Manakala ibu kita Hawa r.a. pula dihidupkan dari sebatang tulang rusuk Nabi Adam a.s. Kita pula adalah cucu-cicit Nabi Adam a.s. Walaupun jauh lebih kecil bentuk tubuh kita ini, tetapi kita tetap memiliki DNA Adam dan Hawa.

Oleh kerana sangat memerlukan air, anak-anak Nabi Adam a.s. akan tinggal di tebing sungai atau di tepi tasik di kawasan dataran ataupun pergunungan. Semakin lama zuriat Nabi Adam a.s. semakin ramai sehingga mencecah berpuluh ribu orang. Mereka tinggal dalam kumpulan yang berpecah-pecah di atas muka bumi. Apabila ada perkumpulan maka perlu ada pentadbiran yang mengurus akan tanah. Tanah di sini bermaksud manusia yang mana asalnya dan juga tanah di bumi yang didiaminya. Dari sinilah bermulanya politik sebagai alat untuk mentadbir. Maka hadirlah pemerintah dan rakyat, undang-undang dan perlaksanaan. Perlahan-lahan, era raja-raja sebagai pemerintah yang menguruskan tanah-tanah milik Allah pun bermula.

Bab 1: Era Raja-Raja

Raja yang paling hebat di zaman permulaan raja-raja bernama Raja Zulkarnain. Di waktu itu mungkin belum wujud lagi sistem tulisan, ataupun mungkin tulisan di zaman itu sudah pupus sekarang. Namun yang pastinya, baginda memang ada kerana kisahnya diceritakan di dalam surah al-Kahfi, ayat 83-98 di dalam Al Quran. Dan segala yang ada di dalam Al Quran sudah pastilah diakui kebenarannya. Menurut pendapat, baginda telah sedia menjadi raja yang besar di zaman Nabi Ibrahim a.s.

Raja Zulkarnain adalah raja dipuji oleh Allah di dalam Al Quran kerana keimanannya, keadilan dan kebijaksanaannya. Bagindalah yang telah berkuda mengelilingi dunia dari tempat matahari terbenam hinggalah ke tempat terbitnya matahari. Tujuan perjalanan baginda adalah untuk menguasai bumi ini dan memerintahnya dengan adil mengikut perintah-perintah Allah. Bagindalah yang telah memerangi kaum Yaa'juj dan Maa'juj (Gog & Magog) sehinggalah terperangkap mereka di celah dua gunung yang ditemboknya dengan potongan-potongan besi yang dileburkan bersama kayu-kayu. Bagindalah raja yang benar-benar mempunyai karisma dan aura seorang raja yang benar di sisi Allah Taala.

klik gambar untuk kejelasan

83 "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.

84 Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

85 Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

86 Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.

87 Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.

88 Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.

89 Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

90 Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

91 Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

92 kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

93 Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

94 Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?

95 Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

96 Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.

97 Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

98 (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar."
Surah Al-Kahfi, 18: 83-98


Bab 2 : Rasul dan Raja


Di antara raja dan rasul, zaman mereka bertembung di antara satu sama lain. Seorang raja seharusnya tunduk kepada rasul, kerana rasul telah diangkat martabatnya oleh Allah untuk membimbing kaumnya. Tugas seorang rasul bukan sahaja perlu menyebarkan akidah kepada Allah, malah rasul juga perlu menegakkan syariah Islam. Perlu diingati bahawa semua rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad SAW adalah diutuskan kepada kaumnya sahaja sementara raja-raja memerintah semua kaum yang hidup di bawah lapangan kuasanya. Hanyalah Nabi Muhammad SAW yang diutuskan Allah untuk diikuti oleh seluruh manusia dan jin semenjak zamannya sehinggalah akhir dunia.

Seorang raja yang besar seperti Raja Zulkarnain juga amat menghormati dan mematuhi Rasul di zamannya, Nabi Ibrahim a.s. Diceritakan bahawa baginda raja akan turun dari kuda ketika melewati tempat Nabi Ibrahim dan berjalan kaki sehinggalah melepasi tempat baginda rasul. Begitulah tarafnya di antara seorang raja dan seorang rasul.

Pada zaman Nabi Ibrahim juga ada seorang raja yang angkuh dan takbur. Raja itu bernama Namrud. Dikatakan oleh Ibnu Kathir dalam buku Kisah Para Nabi tempoh kekuasaan Raja Namrud mencecah hampir 400 tahun. Dia adalah raja pertama yang membentuk negara empayar selepas banjir besar Nabi Nuh. Negara yang ditubuhkannya adalah negara Babylon. Bagaimanapun kerana keangkuhannya mengaku sebagai Tuhan dan menentang ajakan Nabi Ibrahim untuk beriman kepada Allah, maka Allah mengutuskan tentera nyamuk untuk menghapuskan tentera-tentera milik Raja Namrud. Nyamuk-nyamuk itu telah menghisap habis daging dan darah dari tubuh mereka. Adapun yang tinggal hanya tulang belulangnya sahaja. Seekor nyamuk masuk ke dalam hidung Namrud. Ia berada di dalamnya selama 40 tahun menyebabkan Namrud kebingungan. Kepalanya dipukul dengan sebatang tongkat besi di sepanjang waktu. Akhirnya dia menemui kematian akibat daripadanya. Begitulah siksaan Allah kepada Namrud yang jahat.

Apabila ada raja dan kaum yang menentang rasul, maka berlakulah pelbagai peristiwa yang dahsyat menimpa mereka.

Inter Log
Era raja-raja kuno berterusan melakari sejarah penghidupan manusia. Raja-raja kuno ini berusia panjang dan memerintah tanah yang luas sekali. Rakaman sejarah masakini hanya menyaksikan sebahagian daripadanya. Kebanyakan kerajaan kuno telah luput dari liputan sejarah dan ceritanya hanyalah dianggap lagenda yang sukar dibuktikan melalui teknik pensejarahan moden. Tinggalan-tinggalan bangunan yang masih kekal sekarang menyorokkan cerita-cerita kehebatannya dan kemusnahan tamadunnya dari diungkai oleh manusia kini.

Sukar sekali memperolehi buku-buku yang boleh mengisahkan zaman kuno. Buku-buku dari sejarawan ulung seperti al-Tabari, Tarikh al-Rusul wa al-Muluk atau lebih dikenali sebagai Tarikh al-Tabari (Sejarah Para Nabi dan Raja) dan Ibnu Kathir, al-Bidayah wa'an-Nihayah (Permulaan dan Penghabisan) atau juga dikenali sebagai Tarikh ibnu Kathir tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Terjemahan di dalam Bahasa Inggeris juga sukar diperolehi di sini walaupun pelajaran dan panduan dari sejarah-sejarah yang ditulis oleh penulis-penulis zaman kegemilangan empayar Islam ini amatlah berguna pengetahuannya. Ternyata sejarawan Malaysia membungkam dalam menyingkap kisah-kisah silam ini. Lalu hadirlah di rak toko-toko buku karya fiksyen dan dongengan Israiliyah berlambak-lambak mendodoikan anak-anak yang lapar dan dahagakan ilmu. Lantas terbuai-buai mereka di awangan khayalan tanpa mempelajari hakikat perjuangan insan.

Tidak boleh dijadikan alasan mengapa tidak perlu buku-buku sedemikian kerana tidak ada nilai komersil. Apakah kerugian seringgit dua mampu menandingi keperkasaan negara berzaman-zaman? Jikalah anak-anak dididik dengan cerita-cerita yang tidak ada kesinambungan dalam kehidupan mereka yang wujud nanti adalah kekosongan yang boleh dimanipulasikan oleh mereka yang beragenda mengelirukan. Sebaliknya, mengetahui kesilapan dahulu adalah satu proses pendidikan yang bukan perlu dialami sendiri oleh generasi akan datang, tetapi perlu diselami dari untaian sejarah yang rantaiannya tidak putus-putus bagaikan air sungai yang mengalirnya ke lautan yang luas dan dalam. Sesungguhnya hanya pemimpin yang menyedari kesilapan bapa-bapanya dahulu berupaya menangkis dan memerangi serangan dari mereka yang telah menyorokkan pengetahuan berkurun-kurun dari dicapai oleh umat Muhammad sekarang.
Petikan dari Harakah
Menurut Raja Dr. Nazrin Shah, sikap pemimpin yang hilang pedoman ketika berkuasa adalah punca kejatuhan sesebuah empayar dan negara sebagaimana yang tercatat dalam sejarah.

Menurut baginda, sejarah turut mencatatkan ramai insan yang mendapat peluang menjadi pemimpin tetapi hanya sedikit di kalangan mereka yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.

"Ada di antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.

"Justeru, sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin itu sewajibnya dijadikan asas rujukan oleh ummah hari ini bagi mempelajari daripada kesalahan dan menjauhi daripada mengulangi kesilapan yang sama," kata baginda.



Bab 3 Kesilapan Besar Manusia Dalam Sejarah


Kesilapan pertama manusia di atas muka bumi ini dilakukan oleh Qabil (Cain) ibnu Adam a.s. Didorong oleh perangkap kecemburuan kepada adiknya sendiri, Qabil telah membunuh Habil (Abel). Dosa besar pertama terjadi. Iblis laknatullah adalah dalang peristiwa itu. Kesan dari peristiwa itu memberi kesedihan yang besar kepada Bapa dan Ibu. Penyesalan Qabil selepas dia mengebumikan adiknya tidak lagi memberi makna kerana Habil sudah tiada. Diceritakan bahawa Nabi Adam a.s. kemudiannya mengasingkan keluarga Qabil di kawasan pergunungan sementara keluarga anak-anaknya yang lain di lembah yang jauh.

Akan tetapi, rancangan Iblis yang amat memusuhi bani Adam baru sahaja bermula. Selepas kewafatan Bapa, Iblis datang kepada manusia yang tinggal di kawasan lembah dengan meniupkan seruling. Muzik yang dialunkannya merdu sekali. Tertarik dengan pelawaan Iblis, manusia ketika itu mula memainkan seruling. Akibatnya, orang-orang yang tinggal di pergunungan telah turun ke lembah kerana tertarik mendengar bunyi seruling. Lantas, dosa besar kedua pun terjadi. Percampuran kedua-dua puak ini membawa kepada suatu pesta dan seterusnya berlakulah perzinaan. Sesungguhnya, Iblis tidak akan menyuruh manusia melakukan terus satu-satu dosa besar melainkan dia membiarkan manusia itu menghampiri dosa besar itu melalui jalinan perangkap yang halus buatannya.

Perlu diiktibarkan juga oleh kita akan peristiwa banjir besar Nabi Nuh. Selama 950 tahun Nabi Nuh a.s. mengajak kaumnya beriman kepada Allah. Sungguhpun telah berdakwah dalam tempoh kurang sedikit sepuluh abad lamanya, tidak ramai bilangannya orang yang menuruti Nabi Nuh a.s. Malah, semakin lama, semakin ramai yang menentang. Akibatnya kesemua orang yang kafir kepada Allah di muka bumi telah dihapuskan semuanya dengan turunnya hujan, taufan dan ribut petir yang berterusan tidak henti-henti selama 13 hari menurut kalendar bangsa Qibthi (dari Ibnu Jarir). Air juga terpancar dari mata-mata air di atas bumi sehinggalah menenggelamkan manusia-manusia yang tidak beriman. Yang terselamat ketika itu adalah Nabi Nuh a.s. dan orang-orang yang beriman.

Menurut Ibnu Kathir, Allah Taala tidak menjadikan keturunan dari salah seorang pun yang mengikuti baginda, selain Nuh sendiri. Nasab manusia yang berbangsa-bangsa sejak ketika itu hinggalah sekarang adalah daripada Saam, Haam dan Yaafith. Saam menurunkan bangsa Arab, Parsi dan Romawi kuno (orang Yunani). Haam menurunkan bangsa Qibthi (Negro), Barbar dan Sudan. Yaafith menurunkan bangsa Ya’juj, Ma’juj, Turki dan Scolaby (Scotland). Menurut perhitungan Ibnu Kathir, Nabi Nuh hidup selama 1,870 tahun dan dikuburkan di sekitar Masjidil Haram (pendapat Ibnu Jarir dan al-Azraqiy).


Bab 4 Permulaan Raja-raja Israel

Selepas zaman Nabi Ibrahim, maka muncullah lebih banyak negara-negara yang besar yang bertumpu di lembangan sungai-sungai besar di bumi. Negara-negara ini diperintah oleh raja-raja yang cekap. Mesir Tua, misalnya, adalah negara yang dibina oleh bangsa Qibti di lembangan Sungai Nil. Nabi Yusuf a.s., cicinda Nabi Ibrahim pernah menetap dan menjadi menteri di kerajaan ini. Selepas peristiwa kemarau tujuh tahun yang menimpa bumi ketika itu, baginda telah membawa ayahnya dan 11 orang lagi adik beradiknya ke Mesir. Ayahnya ialah Nabi Yaakub ibnu Ishak a.s. ibnu Ibrahim a.s. Nabi Yaakub juga dikenali sebagai Israel.

Nabi Yaakub mempunyai 12 orang anak lelaki.

Lahir dari isterinya, Layya:
Rawabil, Syam'un, Lawaa, Yahuzaa, Aikhasar (Yakasir), Zabalun (Zebulon).
Lahir dari isterinya, Raahil:
Yusuf dan Bunyamin.
Lahir dari pembantu Raahail:
Daan dan Navataniy (Nafrali).
Lahir dari pembantu Layya:
Jaad dan Asyir.

Pada asalnya mereka menetap di negeri Kan’an di Palestin. Kemudiannya seluruh keluarga Nabi Yaakub berpindah ke Mesir di atas jemputan Nabi Yusuf dan keluarga mereka pun berkembang-biak di sana. Keturunan Nabi Yaakub ini adalah asal-usul kepada Bani Israel.

Ketika hampir tiba wafatnya Nabi Yaakub, baginda meninggalkan wasiat untuk menjaga urusan keluarganya kepada Yahuza. Kepada anak-anaknya yang lain baginda mewasiatkan mereka supaya memurnikan agama atau ikhlas dalam mengikuti agama yang satu iaitu Islam. Baginda kemudiannya dimakamkan berdampingan dengan makam persemadian ayah dan datuknya. Tidak lama kemudian, Nabi Yusuf juga wafat pada usianya 110 tahun di Mesir. Seperti bapanya, jenazah baginda diawet dan kemudiannya dimakamkan di sisi orang tuanya di negeri Syam. Sementara itu Bani Israel terus menetap di Mesir sehinggalah beberapa ratus tahun lamanya.

Di dalam masa itu, rasul-rasul dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. telah dilantik oleh Allah dan diutuskan kepada bangsa-bangsa lain yang pada ketika itu mula mendirikan negara masing-masing. Nabi Luth a.s. di negeri Sadom. Nabi Ismail a.s. kepada bangsa Arab di Mekah. Nabi Syuaib a.s. di negeri Madyan. Adapun Madyan terletak di selatan Syam bersebelahan dengan Hijaz jika ditempuh dari danau yang dimiliki kaum Luth. Nabi Ayub a.s. kepada bangsa Rom. Nabi Zulkifli kepada bangsa Israel. Nabi Yunus (Zun Nun) ibnu Matta a.s. yang diutus kepada penduduk negeri Newnowa di dalam wilayah Mosul. Ada juga nabi-nabi yang tidak dinyatakan namanya di dalam Al-Quran. Bagaimanapun kisah-kisah mereka terabadi secara umum dalam surah al-Furqan: 38-39, surah Qaf: 12-14 dan surah Yaasin: 13-29 di antaranya sebagai pengajaran kepada mereka yang mendalaminya.

A portrait of a block of stone discovered in the area of Shatea el-Gazira in upper Egypt handling a starvation happened at the age of the king Zoser of the third dynasty and lasted for seven years.



Bab 5 Eksodus


Riwayat rasul yang paling terperinci dinyatakan di dalam al-Quran ialah Nabi Musa ibnu Imran ibnu Qahats ibnu ‘Aazar ibnu Laawi ibnu Yaakub ibnu Ishak ibnu Ibrahim a.s. Nabi Musa lahir di kala Bani Israel hampir-hampir mengalami kehancuran akibat daripada kezaliman Firaun, raja Mesir. Di zaman itu Bani Israel telah diperhambakan oleh bangsa Qibthi. Keadaan sosial, politik dan ekonomi Bani Israel ditindas sepenuhnya oleh kerajaan Mesir.

Berpandukan satu mimpi yang menakutkan, Firaun mendapat alamat akan ancaman kebangkitan Bani Israel. Justeru itu, dia telah membunuh semua bayi-bayi lelaki Bani Israel yang baru lahir dan membiarkan bayi-bayi perempuan hidup. Tujuannya adalah untuk melemahkan keturunan Bani Israel. Strategi politik yang amat kejam ini benar-benar telah mendatangkan ketakutan kepada Bani Israel. Bagaimanapun, di ambang krisis yang melanda muncullah Musa sebagai penyelamat bangsanya. Kelahirannya tidak dapat dikesan oleh mata-mata Firaun. Ibundanya yang berusaha kuat menyembunyikan kandungannya telah mengambil langkah yang drastik sewaktu kelahiran Musa. Ibunda Musa mendapat ilham dari Allah Yang Maha Kuasa. Setelah menyusui bayinya, Musa dihanyutkan ke dalam sungai Nil di dalam sebuah bakul dengan diikuti dari jauh oleh kakak Musa. Dengan rahmat Allah, bakul itu dipungut oleh dayang-dayang istana lantas dipersembahkan kepada Asiyah. Asiyah ialah isteri Firaun dari keturunan raja Mesir di zaman Nabi Yusuf. Asiyah lalu mengambil Musa sebagai anak angkatnya setelah beliau memujuk Firaun untuk membela bayi yang dijumpai itu. Musa pun dibesarkan di dalam istana Firaun. Malah, ibu Musa kemudiannya dipilih untuk bekerja di istana Firaun sebagai ibu susuan kepada baginda di bawah perancangan Allah Taala yang maha halus dan maha sempurna. Arkian Musa pun dewasa dididik di istana Firaun.

Musa a.s. pernah lari dari Mesir akibat tindakannya membunuh seorang lelaki Qibthi dengan tidak sengaja dalam satu peristiwa yang berlaku secara spontan. Menurut riwayat, lelaki Qibthi itu dipukul dengan sekali pukul oleh Musa lalu menggelepar dan mati. Akibatnya Musa a.s. telah mengembara ke negeri Madyan. Menurut sesetengah pendapat ahli tafsir seperti Hasan al-Basri dan Malik bin Anas, baginda telah bertemu dan mengikat perjanjian dengan Nabi Syuib a.s.. Selama lapan atau sepuluh tahun Musa bekerja untuk Syuib. Kemudiannya baginda dinikahkan dengan anak bongsu Syuib a.s. setelah tamat tempoh perjanjian itu. Lalu Musa pun berangkat bersama keluarganya untuk pulang ke tanah airnya.

Perjalanan yang diambil oleh Musa a.s. ini telah membuka satu lembaran sejarah yang amat besar bukan sahaja kepada dirinya, bangsanya malah telah mempengaruhi perjalanan hidup manusia sehingga kini secara keseluruhannya. Di suatu malam yang dingin dan gelap Musa a.s. telah dihubungi oleh Allah Taala sewaktu baginda mencari api untuk keluarganya. Musa a.s. telah diseru oleh Allah Taala di pinggir lembah Thuwa di Gunung Thur. Arakian pada malam yang penuh berkat itu Musa a.s. telah dilantik sebagai rasul Allah dengan gelaran al-Kalim.

Bermacam-macam ujian yang getir ditempuh oleh Nabi Musa a.s. demi menegakkan agama Islam di Mesir. Firaun yang mengakui dirinya sebagai tuhan enggan menerima dakwah Musa a.s. kendatipun pelbagai bukti dan dibawa ke hadapannya. Nabi Musa ketika itu dibantu oleh adik kandungnya Harun a.s. yang diangkat sebagai nabi oleh Allah untuk mengukuhkan perjuangan baginda. Di antara ujian Nabi Musa a.s. yang paling hebat adalah sewaktu berhadapan ahli-ahli sihir Firaun yang mahir dengan ilmu magik ilusi. Bagaimanapun, akhirnya Musa telah menginsafkan ahli-ahli sihir ini dengan mukjizat sebenar yang diberikan oleh Allah kepadanya. Namun, Firaun tetap berdegil dengan pendiriannya walaupun Asiyah, isterinya sendiri telah bertakwa kepada Allah.

Pertentangan ini kesudahannya adalah dengan eksodus (perpindahan beramai-ramai) seluruh Bani Israel dari Mesir. Mereka menyeberangi Laut Merah menuju ke arah tanah yang dijanjikan Allah ketika itu iaitu Baitul Maqdis. Diceritakan bahawa seluruh Bani Israel yang dibawa oleh Musa a.s. mencapai 600,000 orang. Peristiwa eksodus ini dirakamkan di dalam al-Quran di dalam surah asy-Syu’ara: 52-56, 65-67; surah Thaha: 71-79; surah adh-Dukhan: 17-33, surah Yunus: 90-92, 96-97 dan surah al-A’raf: 136-141. Kesudahannya negara Mesir telah dimusnahkan oleh Allah kerana kemungkaran penduduknya. Bagaimanapun mayat Firaun telah dipelihara oleh Allah untuk dijadikan pengajaran kepada umat manusia sekarang.

Bacaan tambahan: Jejak Pertama

About This Blog

This is where I practice my writings.
Inilah tempat aku mengasah kemahiran menulis.
Segala pujian hanya kepada Allah SWT.
All praises are due to Allah The One God.

Komentar dan kritikan amat dialu-alukan.
Comments and critics are most welcome.

Pembaca boleh mengambil mana-mana artikel yang diminati, cuma jangan dinasabkan sebagai hak sendiri.
Readers may take any interesting articles, but just don't claim it as yours.