Perigi Yang Hilang
Dec 15, 2008 by: zen non
Ilmu itu telah melalui sejarah yang panjang. Tanpa ilmu, manusia tidak mungkin dapat hidup melata di atas muka bumi ini. Sejarah ilmu milik manusia bermula daripada langkah yang pertama. Langkah pertama diambil oleh manusia pertama, Nabi Adam a.s.; segala doa kesejahteraan untuknya. Langkah pertama untuk langkah terakhir. Di saat itulah ilmu mula-mula diamalkan.
Pemandangan di bumi ketika itu indah sekali. Matahari yang bersinar megah kelihatan dari horizon ke horizon. Sebidang tanah yang cantik telah sedia untuk diterokai oleh baginda ayahanda. Air mengalir dari celah-celah retakan batu menyuburkan tanah. Mengairi bumi dengan dua rasa. Di teras bumi besi membara. Padang bunga terbentang merata. Begitulah lebih kurang suasananya. Di bumi yang indah kuburan manusia.
Baginda ayahanda berusia lama. Ratusan tahun umurnya. Anak-anaknya ramai. Ibunda ialah Hawa a.s., doa sejahtera buat bonda tercinta. Amalan kehidupan yang mereka ajarkan, moga kan sampai ke akhir zaman. Nabi Adam yang telah mengajar Qabil ilmu tumbuhan dan Habil ilmu-ilmu tentang binatang di samping ilmu-ilmu lain seperti kepercayaan, moral, kekeluargaan, kemasyarakatan, pentadbiran sumber, pertukangan, kejuruteraan, undang-undang, perubatan dan sebagainya. Sukar dipercayai jika dikatakan ilmu-ilmu ini telah hilang, kerana manusia telah mencapai kemajuan yang pesat sekali. Malah nama Adam dan Hawa itu sendiri tak lekang dek hujan, tak lapuk dek zaman. Tetap dipakai sehingga kini. Lantas di manakah yang dikatakan telah hilang. Yang telah hilang mungkin ialah tindakan di atas kepercayaan.
Bukakan buku-buku sains dan yang berkaitan dengannya. Sains itu menceritakan tentang proses penciptaan. Sains juga boleh digunakan untuk mencapai banyak tujuan. Suatu keganjilan telah berlaku di dalam buku-buku sains. Ilmu sains yang diajar baginda ayahanda, tidak lengkap tanpa nama Pencipta. Tuhan yang menciptakan setiap suatu kejadian tiada namanya di dalam buku sains. Keganjilan ini suatu kebimbangan yang pasti. Bagaimanakah belajar sains jika tidak tersampai kepada Allah Yang Maha Mencipta? Sesungguhnya rahmat kepada pelajar semakin pudar membuatkan keselamatan mereka terancam. Maka apakah kita masih mahu berdebat tentang bahasa, sedangkan pengisian sebenar telah dicicirkan sekian lama. Pemisahan ini telah berlaku. Maka wajarlah langkah seterusnya ke arah percantuman semula. Penyaduran semula perlu berlaku. Inilah tindakan yang perlu diambil oleh insan yang percaya.
Ajaran Nabi Adam hanyalah permulaan. Permulaan yang bagus oleh bapa yang bagus. Agar anak-anaknya boleh menyampaikan ajaran dan amalannya kepada cucu cicit baginda dan seterusnya. Azam ayahanda telah pun disempurnakan beberapa ribu tahun kemudian. Pendidikan yang bermula dari keluarga yang kecil kepada bangsa-bangsa besar oleh rasul-rasul yang terkenal seperti Nabi Nuh a.s. dan Nabi Ibrahim a.s., hinggalah akhirnya disempurnakan oleh penyampaian pendidikan rasul dan nabi yang penutup, Nabi Muhammad s.a.w., salam sejahtera buat baginda sekeluarga. Baginda ialah guru kepada seluruh umat manusia. Baginda membawa ilmu yang telah ditempa dengan sempurna beribu tahun lamanya dari Zaman Rasul dan Raja untuk amalan hidup sejahtera; dunia dan akhirat kepada setiap orang yang mahu mengamalkannya.
Betapa canggih pun sistem pendidikan abad ke 21 ini, tidak mungkin ia menandingi kehebatan ajaran guru-guru sejati yang terdiri dari kalangan rasul dan nabi. Pengajaran mereka ini hanya berada di bawah langit berbanding apa jua sekolah dan universiti yang bertebaran di atas muka bumi ini sekarang. Begitulah hebatnya pengajaran dari zaman para rasul yang telah hilang dari dalam buku sains. Ilmu para nabi sebenarnya tercapai hingga ke akhir masa seperti air hujan yang kembali ke lautan. Ironinya Nabi Ismail a.s. telah meninggalkan kita sebuah perigi yang pernah hilang. Perigi tersebut bernama Zam-zam.
muat turun dalam pdf di sini
Bacaan berkaitan
1. Dunia Guru
2. The Well
3. Kisah Perjalanan Manusia
4. A teacher's view series - Ilham
4. A teacher's view series - Situation
6.A teacher's view series - After The Beginning
7. Legend of The Kings
8. I Would Also Like To Write About Politics