Surat Terbuka Kepada Ibu Bapa dan Para Pelajar - Bahaya di dalam Kotak
Nov 22, 2007 by: zen non
Teori: Kanak-kanak/Remaja yang banyak menonton televisyen/bermain permainan konsul
- tidak berminat untuk membaca.
- kanak-kanak lelaki menjadi hiperaktif, kanak-kanak perempuan menunjukkan sindrom penarikan diri
- terlalu dekat, menyebabkan kerabunan.
- bila ada halangan penyaluran gelombang, contohnya apabila ada orang berdiri di antara televisyen dan si
penonton, akan menunjukkan keresahan.
- lebih mudah terpengaruh dengan iklan.
- menjadi cepat lupa.
*Maaf, tiada kajian dijadikan rujukan. Hanya pemerhatian dan pengalaman penulis sahaja.
Bismillah ar-Rahman ar-Rahim,
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (al-‘Alaq ayat 1-5)
Seperti yang kita ketahui, ayat di atas disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW oleh malaikat Jbril a.s. ketika baginda bersendirian di Gua Hira’. Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang ummi, iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Keistimewaan baginda ini adalah sebahagian daripada rancangan Allah SWT yang mempunyai banyak hikmahnya. Malah selepas Islam berkembang, Rasullullah SAW tidak perlu belajar menulis dan membaca kerana baginda diajar oleh malaikat Jibril a.s. Malah, tidak ada sebuah buku pun yang mampu menandingi ilmu yang disampaikan terus oleh Allah SWT kepada Rasullullah SAW.
Bagaimanapun, kunci kepada pengetahuan dan ilmu untuk kita sebagai umat Rasullullah SAW adalah melalui menulis dan membaca. Sebagai contoh, ramai umat Islam di sewaktu mula-mula Nabi berdakwah tidak tahu menulis dan membaca. Akan tetapi hasil dari didikan Nabi, ilmuwan-ilmuwan Islam yang lahir selepas itu adalah yang ilmuwan yang terbaik. Jika dibandingkan dengan orang yang paling bijak sekarang ini pun, ilmuwan-ilmuwan di zaman kegemilangan Islam adalah seperti membandingkan langit dan bumi.
Imam Bukhari contohnya, beliau telah menghafaz al-Quran sebelum mencapai umur 7 tahun lagi dan mampu mengingati kira-kira 250,000 hadis. Imam Syafie pula pernah mengatakan bahawa sekiranya beliau membuka sebuah buku, beliau akan menutup sebelah mukasurat. Tujuannya, beliau tidak mahu perkataan dari kedua-dua muka itu bercampur. Ini adalah disebabkan beliau mempunyai daya ingatan fotografik yang boleh merakam tiap-tiap helai mukasurat buku seperti kamera merakam gambar. Rasullullah SAW juga menyedari kepentingan menulis dan membaca ke atas umatnya. Contohnya, selepas Perang Badar baginda akan melepaskan askar-askar kaum musyrikin yang ditangkap dengan syarat mereka mengajar 10 orang muslimin menulis dan membaca.
Pelajar-pelajar yang disayangi,
Baca dulu sebelum menulis. Baca, faham, ingat dan tulis semula. Begitulah caranya untuk menguasai ilmu. Cintailah ilmu kerana umat yang kuat adalah umat yang sentiasa belajar tanpa henti. Negara yang kuat adalah negara yang mempunyai ramai orang yang berilmu.
Ibu bapa yang dihormati, Menurut satu kajian, purata rakyat Malaysia membaca hanyalah beberapa helai mukasurat buku sahaja setahun. Tetapi tiada pula pernyataan tentang bahan apa yang dibaca dari beberapa helai mukasurat tersebut. Jadi, kita harus mengakui bahawa secara amnya, generasi sekarang tidak lagi menjalankan tanggungjawab yang penting ini. Marilah kita sama-sama memperbaiki generasi akan datang supaya mereka tidak mewarisi penyakit ini. Satu kajian telah dijalankan bagaimana sesetengah kanak-kanak suka membaca manakala sesetengah yang lain tidak.
Di dalam kajian tersebut, lima faktor disenaraikan untuk melahirkan kanak-kanak yang suka membaca.
1. Ibu bapa yang suka membaca Proses awal perkembangan kanak-kanak adalah mengikuti ibu bapa.
Ini adalah satu proses kanak-kanak untuk menyatukan membaca dengan sesuatu yang baik. Apabila kanak-kanak sentiasa melihat ibu bapa mereka memegang buku, mereka juga akan mengikuti dengan menyelak-nyelak majalah atau buku walaupun mereka tidak memahaminya. Biasanya kanak-kanak yang tidak tahu atau tidak faham akan bahan yang dibacanya akan memerhatikan gambar-gambar sahaja.
2. Kanak-kanak yang membesar di dalam suasana yang banyak bahan cetakan Kanak-kanak yang minat membaca mempunyai capaian yang banyak kepada bahan cetakan (suratkhabar, buku, majalah dan sebagainya).
3. Kanak-kanak yang mempunyai perpustakaan sendiri di rumah
Biasanya, kanak-kanak mempunyai sifat berkeinginan barang-barang sendiri. Dengan mempunyai perpustakaan mereka sendiri, tidak kira sekecil mana sekalipun, kanak-kanak akan mencintai dan menghargai buku-buku.
4. Ibu bapa yang selalu membawa anak-anak ke kedai buku atau perpustakaan untuk beriadah atau bergembira. (Tidak semestinya perlu membeli/ banyak kedai buku membenarkan pelanggan membaca di dalam kedai buku)
5. Kanak-kanak yang menonton sedikit atau langsung tidak menonton televisyen. Kanak-kanak yang jarang atau tidak menonton televisyen akan menghabiskan masa lapangnya dengan membaca.
Nabi Muhammad SAW selalu berdoa yang bermaksud seperti berikut: “ Ya Allah, aku memohon kepadaMu untuk memberiku ilmu pengetahuan yang berguna dan aku mohon perlindunganMu dari ilmu yang sia-sia.” Kanak-kanak perlu dilindungi dari bahan-bahan bacaan yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran pemahaman mereka.
Bukan sahaja kanak-kanak, malah setiap orang perlu mempunyai asas pengetahuan yang kukuh untuk mengelakkan dipengaruhi oleh ilmu yang sia-sia. Seperti contoh Umar Al-Khattab r.a. pernah membaca tulisan-tulisan Taurat sewaktu zaman awal perkembangan kota Madinah. Apabila Nabi mengetahui perkara, baginda melarang Umar untuk meneruskan pengajiannya. Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, sewaktu tauhid dan ilmu Islam sudah kukuh, baginda mengangkat larangan ini dengan menyatakan kepada umat Islam ketika itu yang ingin membaca tulisan-tulisan sedemikian supaya tidak mempercayai dan tidak pula menafikan apa yang dibaca. Begitu juga kisahnya dengan malaikat Harut dan Marut yang diturunkan sebagai ujian kepada umat manusia seperti yang diceritakan di dalam surah Al-Baqarah.
* Rujukan dan inspirasi: Imam Anwar Al-Awlaki – The Life of The Prophet Muhammad PBUH (Makkan Period)