Sajak Satu
Sep 13, 2009 by: zen non1 Malaysia adalah satu jenama yang dibawa oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak ketika beliau mula-mula memegang tampuk pemerintahan Malaysia. Produk jenama ini ialah Negara Malaysia itu sendiri. Produk ini bagus sekali. Rakyatnya walaupun kecil namun masih mempunyai daya juang yang terpuji dalam memperkasakan entiti sebuah negara. Peningkatan sistem pentadbiran negara berterusan dari masa ke masa. Keulungan negara gagasan utama.
Bagaimana kekang begitulah kudanya,
Bagaimana senang begitulah susahnya,
Terang jalan bersuluh api ternyala,
Menentang rangkakan kegelapan,
Merungkai rahsia siang,
Tenggelam dalam cahaya,
Tak kira malam tak kira siang,
Manusia berjalan,
Dipandu, terpandu, memandu,
Kesemua arah orang menuju,
Bersetuju atau tidak bersetuju;
Seperti sekaki payung,
Hujung itulah puncak pabila kembang,
Maka berpegangan benang-benang nilon,
Berpegang-pegang membina kitaran,
Kitaran yang semakin mengecil,
Hingga tertumpu di puncak,
Puncak yang jadi hujung apabila payung itu tidak digunakan.
Pengurusan sesebuah negara adalah suatu cabaran. Hebatnya cabaran ini tidaklah sehebat cabaran terhadap seorang miskin yang tidak henti-henti melakukan kerja buruh dari pagi dan pabila petang, dia pulang dengan beberapa keping wang sahaja yang boleh habis dengan sebelanja. Namun cabaran kepada pemimpin tidaklah harus diperkecilkan juga. Cuma si papa kedana lebih kuat diduga dengan serba serbi kekurangan.
Kambing biri-biri tidak tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka bergerak dalam kumpulan yang besar, sekadar mengikuti kambing yang di hadapan. Jika ada yang tertinggal atau tersalah langkah, pasti kan sesat biri-biri itu hingga tidak kenal lagi jalan pulang. Maka, untuk memastikan biri-biri itu semua selamat dan makan rumput yang halal, memerlukan pengembala yang berpengetahuan. Tanah mana yang bukan larangan, rumput mana yang tidak diracun, bukit mana yang tidak berserigala.