Dari Isfahan ke Madinah (Bab 1)

Feb 17, 2008 by: zen non

Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup
Bab 1: Salman di Negara Parsi

Pada zaman dahulu manusia hidup beramai-ramai di kawasan berhampiran sungai. Lebih besar sungai itu lebih banyaklah sumber makanan yang boleh diperolehi samada dari kegiatan perikanan ataupun pertanian. Ini adalah kerana sungai akan membawa tanah dari kawasan pergunungan dan kemudiannya dilimpahkan di kawasan lembah yang lebih rendah. Tanah dari gunung kaya dengan mineral yang boleh menyuburkan tanam-tanaman di darat dan juga di dalam sungai. Sungai Nil berkembar yang mengairi sembilan buah negara contohnya, mengairi dataran Afrika yang sangat luas sebelum melimpahi Laut Mediterranean. Sungai Nil Biru yang berpunca dari Tasik Tana di Ethiopia dan Sungai Nil Putih yang datang dari himpunan tasik-tasik besar di pertengahan benua Afrika telah menjadi pemangkin oleh manusia untuk mendirikan negara seawal tahun 8,000 BC, iaitu 10,000 tahun dahulu.

Sungai Euphrates dan Sungai Tigris juga merupakan sungai yang besar di atas bumi ini. Kedua-dua sungai ini berasal dari tempat yang sama, di Pergunungan Ararat dan Pergunungan Taurus di Turki seterusnya berakhir di Teluk Parsi. Manusia telah tinggal di kawasan limpahan kedua-dua sungai semenjak tahun 4,000 BC lagi. Malah menurut kisah Israiliyat, air Sungai Nil dan Sungai Tigris-Euphrates berasal dari syurga dan darinyalah air berpunca di bumi ini.

Kira-kira 2,600 tahun yang lepas, lahirlah sebuah negara yang besar dan kuat di tebing Sungai Tigris. Negara ini dikenali sebagai Empayar Parsi. Empayar ini menguasai sebahagian besar daripada tanah di Dataran Iran, barat benua Asia dan juga Asia Tengah. Empayar ini mempunyai raja-raja yang gagah dan askar-askar yang hebat di medan peperangan. Empayar ini boleh dikatakan sebagai di antara kuasa besar dunia selama kira-kira 1,250 tahun. Bagaimanapun, malangnya raja dan rakyat Empayar Parsi adalah kaum yang menyembah api. Mereka dikenali sebagai kaum Majusi atau lebih dikenali di Barat sebagai kaum Zoroastrian. Kaum ini sangat jahat dan sering melakukan kerosakan di muka bumi. Raja-raja mereka amat suka berperang dan menakluk negara-negara lain. Jika tidak ada orang-orang Rom di sebelah barat dan orang-orang Cina di sebelah timur yang kuat menahan serangan mereka, maka sudah pastilah Empayar Parsi telah menguasai seluruh dunia pada ketika itu. Begitulah ketentuan Allah Taala Yang Maha Bijaksana.

Walaupun rata-rata penduduk Parsi adalah kaum yang telah mengingkari Allah, namun dari celah-celah kesesatan itu, bangkitlah seorang insan yang berfikir tentang keagungan Tuhan dan berusaha mencari hakikat kebenaranNya. Namanya adalah Salman dan ini adalah kisah hidup beliau. Cerita perjalanan hidup Salman disampaikan sendiri oleh beliau kepada sahabat-sahabatnya dan kemudian diabadikan dalam sejarah perjalanan manusia yang gigih menuntut ilmu.

Salman dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Jai (Jayyan atau Jian) di kota Isfahan di Parsi. Nama yang diberikan oleh bapa beliau ialah Rouzbeh. Bapanya seorang yang kaya-raya, rumahnya agam dan ladangnya banyak.

Di zaman itu, rumah orang kaya-kaya adalah sangat besar, mempunyai halaman yang luas dan dipagari oleh tembok di sekelilingnya. Orang kaya-kaya ini mempunyai ramai hamba yang menguruskan kebersihan dan makan minum mereka sekeluarga. Mereka memiliki banyak harta dan tanah, menguasai perniagaan di pasar-pasar dan mempunyai jawatan yang penting di dalam kerajaan. Juga menjadi satu kebiasaan di zaman tersebut bahawa jawatan yang mereka pegang akan diwariskan kepada anak-anak lelaki mereka.

Bapa Salman juga adalah sebegitu. Bapanya bertugas sebagai Dihqan, iaitu ketua yang menjaga api di dalam kuil. Selama beratus-ratus tahun lamanya api yang mereka sembah itu tidak pernah padam. Salman juga dididik oleh bapanya untuk menggantikan tempatnya kelak sebagai penjaga api kuil. Di dalam kuil, Salman ditugaskan untuk memastikan kayu-kayu sentiasa dimasukkan ke dalam api supaya ianya tidak terpadam. Sekiranya api ini padam, sudah pastilah Salman dan keluarganya akan dihukum berat oleh raja. Walaupun tidak disukainya, Salman tetap setia melakukan tugas ini untuk menghormati perintah bapanya.

Semenjak dari kecil lagi Salman amat dikasihi dan dimanjakan oleh bapanya. Malah, disebabkan oleh terlalu sayangkan beliau, bapanya tidak membenarkan langsung Salman keluar dari rumahnya. Salman hanya dibenarkan bermain-main di dalam kawasan rumahnya. Dia tidak dibenarkan ke mana-mana melainkan ke kuil sahaja untuk menjalankan tugasnya.

Suatu hari, bapanya kesibukan dan tidak dapat menguruskan ladangnya yang sedang menghasilkan tuaian. Oleh itu, bapanya mengarahkan Salman untuk pergi melihat kerja-kerja penuaian dilakukan. Sewaktu perjalanan pergi, Salman melintasi sebuah gereja Kristian. Kedengaran oleh Salman dari dalam gereja orang-orang sedang beribadat. Lantas beliau berasa hairan. Sepanjang usianya, Salman tidak mengetahui langsung mengenai agama ini meski agama yang lain-lain.

Dengan rasa ingin tahu, Salman memasuki gereja itu. Ibadat yang mereka lakukan benar-benar menarik minat Salman untuk mempelajari agama ini. Beliau berpendapat agama Kristian adalah lebih baik dari agama yang dianutinya. Beliau terus duduk di dalam gereja tersebut hinggalah ke petang. Tugasnya di ladang langsung diabaikan. Sebelum pulang, Salman sempat menanyakan di manakah pusat perkembangan agama ini. Menurut orang-orang di dalam gereja itu, ianya berada di Negara Syria Lama.

Pada waktu malam, sekembalinya Salman ke rumah; bapanya bertanyakan perihal di ladang. Lalu Salman menceritakan pengalamannya di siang hari. Bapanya terkejut. Dia cuba meyakinkan Salman bahawa agama mereka adalah lebih bagus daripada agama Kristian. Apabila Salman membantah, beliau terus dikurung oleh bapanya dan dirantaikan kakinya. Bapanya takut bahawa kelak Salman akan menganuti agama Kristian.

Akan tetapi Salman bukanlah seorang yang mudah mengalah kepada nasib. Melalui hambanya, Salman menghantar mesej kepada beberapa orang Kristian untuk memaklumkan kepadanya andai ada kafilah dari Syria datang ke kota Isfahan. Beberapa ketika kemudian, tiba mesej kedatangan kafilah tersebut. Salman yang telah bersedia, memecahkan kunci rantai di kakinya dan keluar dari rumahnya secara sembunyi-sembunyi. Dengan berhati-hati, Salman mengikuti kafilah itu pulang ke Syria.

-tamat Bab 1-