Meninjau Kehidupan Presiden Mahmoud Ahmedinejad

Jan 10, 2008 by: zen non

Ahmedinejad's Blog

Presiden Mahmoud Ahmedinejad adalah presiden ke-enam Republik Iran. Beliau memenangi undian pemilihan presiden 2005 dan mula menjawat tugas tersebut pada tanggal 6 Ogos 2005 pada usia 49 tahun. Walaupun beliau adalah presiden kepada sebuah negara Islam yang dikenali dengan mazhab Syiah, yang bertentangan dengan mazhab Ahlussunnah Wal-Jamaah, namun kisah hidup beliau tetap saya paparkan sebagai contoh seorang ketua yang patut diteladani corak kepemimpinannya.

Presiden Ahmedinejad dilahirkan di kota Garmsar, yang terletak berhampiran dengan ibu kota Tehran. Bapanya adalah seorang tukang besi. Beliau adalah seorang sarjana PhD. dalam jurusan kejuruteraan lulusan Universiti Sains dan Teknologi Iran. Kemudiannya beliau bertugas sebagai pensyarah di universiti tersebut. Karier politik beliau bermula sebagai gabenor wilayah Ardabil dan kemudiannya dipilih menjadi Datuk Bandar Tehran.

Sewaktu beliau mula-mula melangkah ke pejabat Presiden, perkara pertama yang dilakukan oleh Presiden Ahmedinejad adalah mendermakan semua karpet yang bermutu tinggi di pejabat tersebut kepada sebuah masjid di Tehran. Karpet-karpet itu kemudiannya digantikan dengan karpet-karpet yang murah. Seterusnya, beliau mengarahkan pejabat protokol untuk menyediakan sebuah bilik biasa yang mempunyai perabot kayu sahaja bagi menggantikan sebuah bilik istirehat untuk menerima VIP yang terlalu besar dan mewah. Beliau juga mengarahkan agar kapal terbang peribadi presiden digunakan untuk urusan penghantaran dan kargo negara. Menurut beliau, langkah ini dapat menjimatkan perbelanjaan harian negara. Beliau hanya terbang dengan menggunakan pesawat penerbangan biasa dan duduk di kelas ekonomi sahaja.

Kemudian Presiden Ahmedinejad sendiri mengisytiharkan harta-harta yang dimiliki oleh beliau sebelum menjadi presiden. Di antaranya adalah sebuah kereta Peugeot 507 keluaran tahun 1977, sebuah rumah kecil yang diwarisi dari bapa beliau kira-kira 40 tahun lepas yang terletak di kawasan orang miskin di Tehran, akaun bank dengan baki sifar dan wang yang masuk ke dalam akaun tersebut hanyalah gaji beliau sebagai pensyarah universiti iaitu kira-kira USD250 atau RM950 sahaja.

Sehingga kini, rumah beliau adalah rumah yang sama didudukinya sebelum menjadi presiden. Malah gaji beliau sebagai presiden langsung tidak diusik dengan alasan ianya adalah milik negara dan beliau perlu bertanggungjawab untuk menjaga kekayaan negara.


Apa yang lebih menarik lagi mengenai presiden ini, adalah sikapnya yang merendah diri. Beliau sering kelihatan menyertai pekerja-pekerja yang membersihkan jalan-jalan di sekitar rumah dan pejabat beliau. Ketika ke pejabat, beliau akan menggalas sebuah beg yang diisi dengan sarapan pagi yang disediakan oleh isteri beliau, iaitu beberapa keping sandwich atau roti yang dimakannya dengan penuh nikmat bersama minyak zaitun dan keju.

Bagaimanapun, ketika bertugas beliau adalah seorang yang tegas. Menteri-menteri yang dilantik oleh beliau perlu menandatangani sebuah dokumen perjanjian yang mana di antara isi-isi pentingnya adalah menteri tersebut perlu berada dalam keadaan miskin, akaun mereka dan saudara mereka akan dipantau dan mereka perlulah meninggalkan pejabat dalam dengan mendokong maruah kepemimpinan. Oleh itu, menteri-menteri terbabit dan saudara-saudara mereka tidak boleh mengambil kesempatan di atas kuasa yang mereka miliki.

Dari masa ke semasa, Presiden Ahmedinejad akan mengadakan perjumpaan bersama menteri-menterinya untuk mengetahui aktiviti dan keberkesanan tindakan mereka. Setiap menteri dibenarkan masuk ke pejabat presiden pada bila-bila tanpa perlu protokol keizinan. Beliau juga menghentikan amalan menyambut kenamaan secara berlebihan seperti pembentangan karpet merah, sesi fotografi atau mana-mana promosi peribadi kenamaan tersebut ketika mereka membuat lawatan ke mana-mana bahagian dalam negara.

Malah beliau sendiri akan meminta untuk ditempatkan di dalam bilik hotel yang tidak berkatil ketika membuat lawatan jauh. Ini kerana beliau lebih suka tidur di atas lantai berlandaskan alas tilam nipis dan berselimut sahaja.

Suatu ketika apabila beliau ditanya oleh Fox News TV (USA) sewaktu lawatan beliau ke negara Amerika Syarikat,
"Apakah yang anda katakan kepada diri anda sewaktu melihat cermin di waktu pagi?"

Beliau menjawab,
"Saya melihat diri saya dan mengatakan; ingatlah, kamu tidak lebih dari seorang hamba yang kerdil, di hadapanmu hari ini adalah tanggungjawab yang besar, iaitu memimpin negara Iran."

Foto-foto di bawah membuktikan perkara di atas: dari atas kiri ke kanan

Gambar 1: Presiden Iran sedang tidur di bilik tetamu di rumahnya selepas menghindari pengawal-pengawal keselamatan beliau yang mengikuti beliau ke mana sahaja. Menurut akhbar Wifaq yang menyiarkannya, gambar ini diambil oleh adik lelaki beliau. Keesokan harinya gambar ini tersebar ke suratkhabar dan majalah merata dunia terutama sekali di Amerika Syarikat.
Gambar 2: Semasa solat, jelas sekali beliau tidak duduk di saf hadapan.
Gambar 3: Presiden sedang makan hidangan yang sederhana.



*Diterjemahkan dari sepucuk mel-e yang dihantar oleh sahabatku, Khairil Mark.

Filed under: