Terra Preta
Jan 30, 2010 by: zen non(sambungan dari pos Masalah Dunia)
Terra preta do indio nama diberi, tanah hitam India nama serasi. Terra preta ditemui oleh seorang ahli kaji tanah Belanda bernama Win Sombroek (1).
Tanah ini tersebar bertumpuk-tumpuk di serata Lembangan Sungai Amazon di dalam Tanah Amozonia. Luas setiap tumpukan adalah di antara dua ke tiga ekar dan ada juga yang mencapai keluasan 30-40 ekar. Lapisan tanah hitam ini seumpama tahi lalat pada kulit manusia yang mulus. Hitam yang tebal menyimpan rahsia. Rahsia dibongkar oleh seorang anak petani yang zaman kanak-kanaknya telah menempuhi kebuluran ketika Perang Dunia Kedua.
Sebidang tanah hitam ini lebih subur daripada tanah Amazon biasa di sekelilingnya. Ketebalan dua meter (6.5 kaki) bunga tanah terra preta kaya dengan zat-zat makanan utama untuk tumbuhan. Oleh yang sedemikian, tumbuhan yang hidup di atas tanah Amazon biasa lebih kerdil berbanding tumbuhan yang membesar dengan terra preta. Bukanlah suatu yang memeranjatkan pun apabila kita mengetahui bahawa bunga tanah Amazon biasa hanyalah setebal 20cm(8 inci) sahaja.
Penemuan Win Sombroek dipandang serius oleh saintis-saintis tanah sedunia. Setelah digali, didapati isi kandungan terra preta adalah arang, sisa makanan, sampah sarap, periuk pecah dan sebagainya bercampur-campur dengan tanah biasa. Tanah hitam ini dibuat oleh manusia kira-kira dua ribu tahun lampau oleh kaum-kaum yang menghuni Amazonia ketika itu. Suatu penyelesaian lama untuk menyuburkan tanah gersang kini mungkin menjadi jawapan kepada krisis makanan dunia.
Tanah ini hampir saja kukatakan sama dengan tanah bakar di Malaysia kalau bukan kerana keluasan dan ketebalan terra preta. Apa yang dilakukan oleh datuk nenek kita dahulu untuk melupuskan sampah adalah dengan pembakaran. Tanah sisa bakaran sampah ini kemudian digunakan sebagai medium tanaman. Sudah pastilah mereka tidak tahu bahawa sisa karbon yang terperangkap dalam tanah bakar boleh memerangkap mineral seperti fosforus, kalsium, zink dan mangan yang menjadi pemangkin pembiakan pelbagai jenis mikroorganisma di dalam tanah. Apa yang mereka pasti tanah bakar sebegini amat baik untuk tanaman.
Sambil menyelam minum air, begitulah kaedah pembikinan terra preta mampu merevolusikan agrikultur sedunia. Revolusi hijau kini berwarna hitam. Kalau kita mampu melaksanakannya. Namun halangan kita pastilah kebimbangan kepada pembakaran terbuka. Sampah sehari sebuah bandaraya kalau dibakar mau sebulan baru selesai. Lalu pasti ada suara yang berkata, “Hey, kau membebaskan gas berbahaya!” Lantas satu ilham bakal jadi retorik yang sia-sia.
Manusia itu istimewa kerana berakal dan mampu membuat pilihan. Akan tetapi manusia menghasilkan banyak sampah. Setiap saat kulit manusia mati lalu luruh. Setiap hari manusia menggunakan tandas. Setiap masa manusia membuang sampah secara sedar atau tidak. Arkian ilmu pengurusan sampah adalah suatu fardhu yang wajar dipelajari dan diamalkan setiap insan dalam setiap penempatan. Pulau Singapura misalnya menguruskan sampah dengan melambakkan di pinggir laut bersama-sama pasir. Lambakan sampah ini lalu membentuk Pulau Semakau. Kita pula menguruskan sampah dengan melambakkan di kawasan-kawasan pelupusan sampah yang diwartakan pihak berkuasa. Bukit-bukit sampah ini jika digunakan untuk membuat terra preta nova dengan teknologi pembakaran kurang oksigen pasti menghasilkan berlori-lori tanah yang subur. Ini ialah suatu cabaran inovasi kepada saintis-saintis kita. Sedarlah kita hanya sepersepuluh tanah subur sahaja yang memberi makan kepada 6,980,864,950 manusia di bumi pada ketika ini.
Blogger Templates
Blogger Templates