PendahuluanBab 1Bab 2PetaBab 3 dan Bab 4Bab 5 & PenutupPerhambaan telah menjadi tradisi manusia zaman-berzaman. Sejarah tidak dapat mengesan semenjak bila perhambaan telah dimulakan. Tulisan tertua yang dijumpai oleh pengkaji sejarah masa kini menceritakan telah wujud amalan perhambaan sejak 4,000 tahun yang lampau. Tulisan ini ialah sebuah batu yang dipahat untuk menuliskan Kod Undang-Undang milik Raja Hammurabi di negeri Babylon.
Sebab-sebab seseorang menjadi hamba ada beberapa. Yang pertamanya adalah hamba berhutang. Seseorang yang meminjam wang atau sesuatu barang dari orang lain, apabila tidak mampu membayarnya akan menjelaskan hutang itu dengan khidmatnya. Secara rela atau paksa, seorang hamba berhutang akan bekerja kepada pemiutang dalam tempoh tertentu. Akan tetapi, ramai juga menjadi hamba seumur hidupnya. Malah, sejak zaman dahulu lagi sudah menjadi suatu kebiasaan seorang bapa yang berhutang akan memberikan anaknya sebagai hamba kepada pemiutang untuk menjelaskan hutangnya. Yang keduanya adalah melalui paksaan. Raja-raja yang jahat akan memerintahkan tentera-tenteranya untuk menangkap orang-orang merdeka dari tempat-tempat yang jauh untuk dijadikan hamba di negeri mereka. Sebahagian orang-orang yang ditangkap ini akan bekerja di istana dan yang lain-lainnya dikerahkan untuk menyiapkan apa saja projek kerajaan. Yang ketiganya adalah melalui perdagangan hamba. Pasar-pasar zaman dahulu bukan sahaja menjual barang-barang, ternakan dan sayur-sayuran malah orang turut dilelongkan. Ketika itu wujud satu rangkaian perdagangan hamba yang berasas daripada pemburu-pemburu hamba, broker-broker sehingga penjual-penjual hamba di pasar. Yang keempatnya adalah melalui kerelaan sendiri. Ada keluarga dan individu yang hidupnya sangat miskin. Oleh kerana tiada pekerjaan, mereka menawarkan diri untuk menjadi hamba kepada orang-orang kaya. Yang kelimanya adalah melalui keturunan. Status seorang hamba dan anak-anaknya akan kekal sehinggalah mereka dimerdekakan.
Lazimnya, hamba-hamba akan bekerja untuk tuan mereka tanpa dibayar gaji. Mereka hanya diberi keperluan asas hidup seperti makanan dan tempat tinggal. Seorang hamba akan bekerja sepanjang hayatnya atau sehingga dia dibebaskan oleh tuannya. Sejarah juga memberitahu bahawa ada tuan-tuan yang baik hati senantiasa menjaga keperluan hambanya. Mereka memerdekakan dan memberi harta secukupnya kepada hamba-hamba yang disukainya. Namun ada sebahagian lagi berlaku zalim kepada hamba-hambanya. Orang-orang yang tidak berhati perut ini menghina, memukul dan membunuh hamba-hamba sesuka hati. Bukan tiada yang lari, tetapi oleh kerana faktor keselamatan diri dan tiada tempat tujuan maka kebanyakan mereka memilih untuk terus hidup sebagai hamba.
Salman al-Farisi menjadi hamba bukan dengan kerelaannya. Beliau ditipu, ditangkap dan dijual di pasar. Bagaimana sukar sekalipun kehidupan hamba untuk seorang yang pernah hidup mewah dan merdeka seperti Salman, beliau tetap menerima takdirnya sedemikian. Namun, hidup seorang hamba sangat terkongkong dan tidak boleh bergerak bebas. Salman terikat dengan pekerjaannya setiap hari di waktu siang. Selepas diislamkan, Rasullullah SAW menyuruh Salman membebaskan dirinya dari perhambaan. Maka Salman menyatakan hasrat itu kepada tuannya.
Tuannya berkata,”Baiklah, akan aku bebaskan kau dengan dua syarat.”
Syarat yang pertama ialah beliau mesti menanam 300 batang kurma. Pohon-pohon kurma itu mesti hidup subur kesemuanya.
Sekali lagi Salman pergi mendapatkan Rasullullah kerana sukarnya syarat ini untuk ditunaikan. Dalam iklim yang panas dan kering Madinah, menanam sepuluh batang kurma pun belum tentu tumbuh suku daripadanya. Rasullullah SAW mengambil langkah positif. Baginda menyuruh Salman pulang dan menggali 300 lubang. Baginda kemudiannya memohon bantuan sahabat-sahabat mengumpulkan 300 biji benih kurma. Setelah terkumpulnya kesemua biji kurma dan siap digali kesemua lubang, Rasullullah sendiri yang menanam kesemua kurma itu. Alhamdulillah. Tidak ada satupun benih kurma yang mati. 300 pohon kurma itu terus hidup subur dalam masa beberapa tahun.
Syarat yang kedua lebih sukar untuk ditunaikan. Tuan Salman meminta bayaran 40 auns emas. 40 auns emas adalah seberat 1.13kg. Suatu hari Rasullah dihadiahkan seseorang seketul emas sebesar telur ayam. Baginda memberikan emas itu kepada Salman.
Melihatkan ketul emas yang kecil itu, Salman berkata kepada Rasullullah, “Oh Rasul Allah, apakah yang boleh kulakukan dengan emas sebesar ini.”
“Ambillah. Ianya pasti mencukupi.” Jawab Rasullullah. Salman pun membawa emas itu kepada tuannya. Dengan kuasa Allah, berat emas yang kecil itu adalah tepat-tepat 40 auns. Maka merdekalah Salman.
Bab 4: Dugaan PeperanganPerhambaan menghalang Salman untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW terutama sekali pada ketika yang amat memerlukan. Salman telah terlepas peluang keemasan untuk menyertai Perang Badar dan Perang Uhud.
Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan 2H (17 Mac 624M) merupakan peperangan pertama tentera Islam. Peperangan ini disertai oleh 313 orang Muslimin. Lawan mereka adalah di antara 900 – 1000 orang kafir Quraisy dari Mekah. Tentera Islam telah memperolehi kemenangan yang besar dalam Perang Badar. Setahun selepas peristiwa Badar, tentera Islam sekali berperang dengan kira-kira 3,000 orang dari kaum kafir Quraisy yang diketuai oleh Abu Suffyan. Peperangan ini berlaku di Jabal Uhud pada 3 Syawal 3H (23 Mac 625M). Pada mulanya, tentera Islam yang hanya berjumlah dalam 700 orang berjaya memecah-belahkan tentera musuh walaupun mereka jauh lebih ramai. Bagaimanapun, ketika kemenangan hampir pasti, kumpulan pemanah telah mengingkari arahan Rasullullah untuk mempertahankan kedudukan yang strategik di atas gunung. Mereka bersorak turun. Apabila tentera musuh melihatkan hal ini, mereka mengumpul kembali kekuatan dan kembali menyerang. Ramai askar muslimin terbunuh dalam arus serangan ini. Rasullullah dan sahabat-sahabat yang terselamat melarikan diri ke dalam sebuah gua dengan dikejari musuh. Namun, Abu Sufyan mengambil keputusan untuk tidak masuk ke dalam gua kerana risiko serangan hendap yang tinggi. Arakian, tentera musuh pun pulang ke Mekah dengan kibaran panji-panji kemenangan.
Perutusan kemenangan tentera kafir Quraisy telah tersebar ke kabilah-kabilah di semerata semenanjung Tanah Arab. Semangat mereka yang menentang ajaran Rasulullah berkobar-kobar. Mereka mula bercita-cita untuk menghapuskan negara pertama umat Islam yang berada di Madinah. Dua tahun selepas Perang Uhud, Huyayy bin Akhtab, ketua yahudi Bani Nadir dari Khaybar di Madinah datang ke Mekah. Bani Nadir telah dihalau dari Madinah kerana mereka telah melanggar undang-undang Piagam Madinah. Di Mekah, Huyayy telah mengikat perjanjian taat setia dengan kaum musyrikin. Tujuan perjanjian ini ialah untuk membuka peluang tentera musyrikin untuk menyerang Madinah. Huyayy telah merasuah Bani Ghatafan dengan setengah daripada hasil tuaian mereka tahun itu. Pembelotan Bani Nadir kemudiannya disertai oleh Bani Quraiza, sebuah suku kaum yahudi yang menetap di Wadi Mahzur, di luar kota Madinah.
Maka berkumpullah ketua-ketua kabilah kafir Quraisy. Diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb dari Bani Abd-Shams, sebuah persekutuan kabilah-kabilah musyrikin dibentuk dengan dianggotai oleh Bani Ghatafan, Bani Murrah, Bani Fazarah, Bani Ashja`, Bani Sulaym, Bani Sa'd dan Bani Asad. Pada bulan Mac 627M mereka mula berarak ke Madinah dengan penuh semangat. Tentera dari Mekah bergerak menyusuri pesisiran pantai dari arah selatan dan selebihnya dari arah timur. Dengan askar yang ramai, sebilangan besar kuda dan unta, kelengkapan peperangan yang mencukupi dan sokongan dari Bani Nadir dan Bani Quraiza di Madinah meyakinkan kaum penyembah berhala ini untuk menghancurkan pemerintahan Rasullullah.
Madinah adalah sebuah kota yang mempunyai perlindungan semulajadi. Di sebelah timur dan barat terdapat batu-batu tajam yang terbentuk daripada muntahan lava gunung berapi ribuan tahun dahulu. Adalah amat sukar untuk masuk ke Madinah melalui arah ini. Di selatan Madinah, ladang-ladang dan penempatan penduduk menjadi halangan untuk bala tentera yang besar melaluinya. Masuk melalui arah ini hanya membawa padah diserang hendap. Satu-satunya pintu masuk ke Madinah hanyalah melalui arah utara. Arah inilah yang ditujui oleh tentera bersekutu musyrikin.
Sementara itu, berita penyerangan kota Madinah disampaikan oleh beberapa orang utusan berkuda dari Bani Khuza yang tidak menyebelahi tentera konfederasi. Mereka tiba di Madinah empat hari selepas tentera bersekutu mula bertolak. Utusan ini membawakan berita yang menggemparkan penduduk Madinah. Tujuh hari lagi mereka akan diserang oleh 10,00 orang askar.
Untuk menang di dalam apa saja pertandingan, strategi menentang musuh perlu disusun dengan rapi. Walaupun faktor nasib juga boleh menentukan kemenangan, namun ketahuilah bahawa nasib selalu menyebelahi pihak yang mempunyai strategi yang terbaik. Kelemahan perlu ditutup dan kelebihan perlu digunakan sebaiknya. Strategi yang tidak pernah dilakukan boleh memberi kejutan dan seterusnya membawa kesan negatif kepada mentaliti pihak lawan.
Sudah menjadi kebiasaan Rasullullah SAW sebelum setiap peperangan bermesyuarat bersama para sahabat. Penduduk Madinah dikumpulkan. Di dalam mesyuarat itu, pelbagai pendapat disampaikan oleh para sahabat. Ada yang mahukan mereka bertembung secara berhadapan seperti dalam Perang Badar. Ada juga yang menyarankan mereka bertahan di kawasan tinggi seperti Perang Uhud. Bagaimanapun, pendapat-pendapat ini tidak sesuai untuk menghadapi bilangan askar yang sangat ramai. Bilangan penduduk Madinah yang boleh berperang hanyalah 3,000 orang yang terdiri dari lelaki yang berumur 15 tahun ke atas. Tanpa strategi peperangan yang berkesan, situasi di Madinah pasti sangat mencemaskan.
Di saat kegusaran hampir mewarnai wajah-wajah muram penduduk Madinah, seorang sahabat yang tinggi lampai lantas berdiri lalu berkata, “Ya Rasullullah, di negeri kami, sekiranya kami takut kepada musuh yang berkuda, kami akan menggali parit. Wahai utusan Allah, mengapa tidak kita galikan parit?”
Sahabat yang tinggi lampai itu tidak lain tidak bukan adalah Salman Al-Farisi. Tanah airnya, Parsi memang tidak lekang dari peperangan yang berpanjangan. Peperangan demi peperangan membuahkan strategi yang bermacam-macam. Pengalaman peperangan inilah yang cuba diketengahkan oleh Salman yang baru sahaja memperolehi kemerdekaan dirinya.
Rasullullah SAW menyukai pendapat Salman ini. Begitu juga penduduk Madinah. Rasullullah pun mengaturkan perancangan pertahanan. Tanaman dituai dengan segera dan makanan dicatu. Kaum Muhajirin dan Ansar yang berkemampuan semuanya diarahkan menggali parit. Perempuan dan kanak-kanak dipindahkan ke kawasan pedalaman. Sebuah markas ketenteraan didirikan di Sala’, sebuah bukit yang berhadapan dengan jalan masuk ke Madinah. Pengawal-pengawal ditugaskan sepanjang masa di sepanjang parit dan di sekitar Madinah.
Siang dan malam tidak berhenti-henti kaum Muhajirin dan Ansar menggali parit. Ketika matahari terik di atas kepala mahupun sewaktu kedinginan malam mencengkam tulang mereka terus menjalankan tugas yang berat ini. Parit yang digali semakin hari semakin panjang. Ianya perlu meliputi kawasan yang terdedah yang boleh dilalui tentera berkuda dan unta-unta. Kebuluran dan kemiskinan tambah menyukarkan usaha mereka. Rasullullah sendiri turut membantu. Dilaporkan bagindaBaginda mengikat perutnya dengan batu untuk menahan lapar. Sahabat-sahabat yang lain turut sama menderitai ujian Allah yang sangat berat ini. Kekuatan mereka adalah iman yang teguh di samping janji syurga yang dinanti-nantikan. Bagi mereka, saat sukar ini memang sudah diduga akan berlaku. Bagaimanapun, ayat-ayat Quran dalam surah Al-Ahzaab turun untuk menenangkan dan memberi semangat kepada kaum muslimin.
Bagi mereka yang menggali parit, bersama Rasullullah adalah saat paling manis dalam kepayahan ini. Baginda akan datang kepada mereka lalu berpuisi,
“Oh Allah, tanpaMu pasti kami tiada panduan,
Atau pasti kami tidak akan ada pertimbangan,
Atau pasti kami tidak akan bersembahyang,
Maka kurniakanlah pada kami ketenangan,
Dan jadikanlah kami teguh berdiri bila bersua dengan musuh,
Mereka telah menyalahi kami,
Seandainya masalah yang mereka inginkan,
Maka kami akan menantikan pertembungan ini.” Salman yang telah terlepas peluang untuk berbakti di dalam Perang Badar dan Uhud sudah semestinya berada di dalam parit. Satu ketika beliau berhadapan dengan seketul batu yang besar. Batu ini begitu keras. Ianya perlu dipecahkan. Salman yang bertubuh sasa menghayunkan beliung nya sepenuh kekuatan. Sekali hayunannya boleh menghancurkan seketul batu dengan mudah. Akan tetapi batu yang seketul ini begitu degil di hadapannya. Sahabat-sahabat lain datang membantu. Gagal juga. Rasullullah SAW pun dipanggil. Melihatkan batu yang besar itu, Rasullullah meminta sebilah beliung. Bila beliung di tangan, baginda mengangkatnya tinggi-tinggi. “Bismillah”, ucap baginda. Lalu dengan tangan yang kejap memegang hulu beliung baginda menghentak batu itu.
Terus batu itu pecah dan kelihatan cahaya yang sangat terang memancar dari celah pecahan. Cahaya itu menyinari Madinah al-Munawwarah. Rasullullah menghayunkan beliung itu sekali lagi. Hentakan kali kedua ini menambahkan keretakan pada batu besar itu. Pada saat itu, Rasullullah pun melaungkan, “Allahu Akbar, aku telah diberikan kunci-kunci Rom, mahligai-mahligai merahnya terbakar untukku dan negaraku telah menumpaskan mereka.”
Baginda meneruskan hayunan yang ketiga. Batu itu berkecai. Cahaya yang bersinar-sinar makin kelihatan. Rasullullah memberitahu baginda sedang melihat istana-istana di Sanaa’, Syria dan yang serupa dengannya. Kota-kota di seluruh dunia kelihatan mengibarkan panji-panji Islam. Lantas muslimin muslimat menyeru dengan penuh keimanan,
“Inilah janji Allah dan Rasulnya pada kami!”Pada 31 Mac tentera bersekutu mulai sampai di luar kota Madinah. Ketibaan tentera bersekutu musyrikin disambut dengan parit-parit yang panjang. Di dalam sejarah peperangan Arab, belum pernah mereka melihat taktik peperangan ini. Mereka begitu terkejut. Parit itu terlalu besar untuk dilompat. Pemanah-pemanah yang ditempatkan di Bukit Sala’ juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang percubaan memanjat parit. Beberapa pertempuran kecil berlaku. Bagaimanapun, kesemuanya dikuasai oleh tentera Madinah. Tentera persekutuan terpaksalah mendirikan khemah-khemah di luar jalan masuk ke Madinah sementara waktu. Mereka mengharapkan serangan dari dalaman yang akan dilakukan oleh Bani Qurayza akan berjaya. Apa yang boleh dilakukan oleh mereka hanyalah menunggu dan mengepung penduduk Madinah. Dalam pertarungan ini, bukan lagi faktor kekuatan yang diperlukan. Sebaliknya ketahanan mental dan bekalan makanan yang akan menentukan kemenangan.
Sementara itu di dalam kota Madinah, keadaan agak tenang walaupun masing-masing masih lagi ketakutan. Musuh-musuh di luar tidak boleh masuk ke dalam kota. Rasullullah bagaimanapun menghadapi satu lagi krisis. Baginda mendapat berita akan pembelotan Bani Qurayza. Tetapi baginda adalah seorang pemimpin yang bijaksana. Baginda menghantar Zubair bin Awwam sebagai perisik untuk menyiasat perkampungan Bani Qurayza yang terletak di pedalaman Madinah. Laporan dari Zubair mengesahkan pembelotan mereka. Dia menyatakan bahawa Bani Qurayza sedang membawa masuk ternakan mereka ke dalam kandang dan sedang menurapkan jalan. Ini adalah tanda bahawa mereka sedang membuat persiapan perang. Baginda menghantar empat orang lagi perisik untuk mengetahui kekuatan pihak lawan. Baginda berpesan kepada perisik-perisik ini untuk merahsiakan operasi mereka. Adalah satu keperluan dalam situasi ini untuk tidak memberitahu orang ramai berkenaan pembelotan Bani Qurayza kerana ia akan melemahkan pertahanan mental umat yang sedang dalam ketakutan. Hasil perisikan mereka membuktikan kebenaran pembelotan itu.
Rasullullah menangani Bani Qurayza dengan menghantar 200 orang lelaki untuk berkawal di sekitar perkampungan mereka. Tentera Muslim ini telah berjaya menahan 20 ekor unta yang sarat dengan buah tin, kurma dan barli milik Bani Qurayza yang akan dihantar kepada tentera bersekutu. Maka tersebarlah berita bahawa Bani Qurayza telah melanggar perjanjian damai di antara kaum Muslimin dan Yahudi Madinah. Berita ini benar-benar menggemparkan penduduk Madinah. Akan tetapi iman mereka bertambah teguh dengan ujian yang datang dari Allah ini. Walaupun mereka takut, tapi mereka mengambil langkah positif kepada ketakutan itu. Mereka menaruh sepenuh kepercayaan kepada kepemimpinan Rasullullah. Begitulah perbezaannya di antara orang yang beriman dan orang munafik. Orang yang beriman sentiasa bersabar di dalam ujian dan sudah menduga akan ujian yang hebat dari Allah di atas keimanan mereka. Sementara orang munafik yang ketakutan akan bertambah keraguannya kepada kebenaran agama Islam.
Keadaan umat Islam ketika itu diceritakan oleh Allah dalam surah Al-Ahzaab,
“9. Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
10. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut) dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.
11. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.
12. Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.” Al Ahzaab (33:10-12)Cuaca yang sangat panas di waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam menambahkan penderitaan penduduk Madinah yang sedang dalam kebuluran. Makanan mereka hanyalah sedikit barli atau beberapa biji kurma sehari. Lemak-lemak haiwan yang hampir busuk juga menjadi makanan mereka. Amat sukar menelannya. Mereka juga bekerja siang dan malam untuk menyiapkan parit. Parit itu diceritakan siap dalam masa 20 hari. Kaum muslimin juga tidak cukup tidur untuk berjaga di sekeliling parit untuk memastikan tidak ada percubaan tentera muysrikin memanjatnya.
Rasulullah juga tidak duduk diam. Baginda menghantar utusan-utusan untuk berurusan dengan Bani Ghatafan. Baginda menawarkan satu pertiga daripada hasil tuaian kurma Madinah kepada Bani Ghatafan. Bagaimanapun mereka tidak menerima tawaran itu. Mereka mahukan setengah daripada hasil tuaian Madinah.
Suatu hari di kala pengepungan telah memakan masa berminggu-minggu, seorang pemimpin Mekah datang bertemu dengan Rasullullah. Namanya ialah Nuaym bin Masud dari perkhemahan Bani Ghatafan. Dia adalah seorang yang dihormati oleh bersekutu musyrikin.
Dia berkata kepada Rasullullah, “
Ya Rasullullah, aku telah memeluk agama Islam. Akan tetapi, kaumku tidak mengetahuinya. Berikanlah arahanmu padaku semahumu.” Kehadiran Nuaym yang datang secara tiba-tiba dari pihak musuh dan pengakuan keislamannya adalah suatu kejutan. Akan tetapi ia bukanlah suatu keganjilan. Tentera Allah sudah datang.
Rasullullah pun berkata kepada Nuaym,
“kamu adalah bersendirian, gunakan perdayaan untuk melepaskan kami dari kepungan ini. Cuba kamu lemahkan mereka kerana peperangan adalah suatu tipu daya.” Rasulullah memberi arahan yang jelas kepada Nuaym. Baginda tidak memberikan pedang dan perisai kepada Nuaym dan menyuruhnya pergi berperang bersama tentera muslimin lainnya. Sebaliknya Rasullullah menggunakan kelebihan yang ada pada Nuaym iaitu pengaruhnya di dalam kumpulan pemimpin tentera bersekutu. Baginda mahukan Nuaym menimbulkan krisis dalaman di musuh-musuhnya.
Nuaym mendapat satu ilham. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Yahudi, Bani Quraisy dan juga dikenali sebagai seorang yang dipercayai oleh baninya. Mula-mula, dia pergi ke perkampungan Yahudi Bani Qurayza. Dia bertemu dengan pemimpin-pemimpin kaum Yahudi itu.
Nuaym berkata kepada mereka,
“kamu mengenaliku dan aku mengenali kamu. Kamu mengetahui persahabatan kita dan kamu juga tahu bahawa aku akan memberi nasihat yang ikhlas kepadamu. Apa yang kamu lakukan ini adalah salah. Kamu telah mengambil keputusan untuk menentang Muhammad tetapi kamu tinggal di Madinah di mana anak-anak dan isteri-isterimu juga berada di sini. Orang Quraisy dan Ghatafan datang ke sini meninggalkan anak dan isteri mereka di Mekah. Mereka datang untuk mendapatkan peluang kekayaan di Madinah. Apa akan jadi jika peluang itu tidak datang. Mereka akan meninggalkan Madinah dan kaummu begitu sahaja. Muhammad pasti tidak akan melepaskan kamu setelah kamu melanggar perjanjian dengan mereka. Dan kamu tahu memang kamu bukan lawan Muhammad jika kamu menentangnya sendirian.” “Apa yang kamu katakan itu memang benar. Habis, apa yang boleh kami lakukan?”, balas pemimpin Yahudi itu.
Nuaym menjawab,
“Kamu perlu memastikan bahawa Quraisy dan Ghatafan akan berperang hingga ke akhirnya sehingga hajatmu tercapai. Bukan hanya mencuba dan pulang jika gagal. Kamu perlu pastikan mereka tinggal dan berperang dengan kamu dan tidak membeloti kamu dan tinggal.”“Baiklah, bagaimana kami boleh menjaminnya?” soal Yahudi itu lagi.
“Kamu boleh meminta pada mereka pemuda-pemuda mereka untuk tinggal bersama kamu sebagai satu jaminan mereka akan berperang hingga ke akhirnya.” Pemimpin Yahudi itupun bersetuju. Di zaman itu bukanlah suatu keganjilan apabila orang yang berhutang meninggalkan anak mereka kepada pemiutang sebagai jaminan.
Nuaym pun meninggalkan Bani Qurayza dan pergi pula kepada Bani Quraisy. Dia berjumpa dengan ketua mereka. Nuaym berkata kepada mereka,
“kamu tahu betapa rapatnya persahabatan kita. Kamu pasti tahu bahawa nasihatku kepadamu adalah jujur dan ikhlas. Dengarkanlah sahabatku, kedatanganku ini kerana ada sesuatu yang ingin kusampaikan kepadamu. Tetapi aku mahu kamu merahsiakan maklumat ini.”“Nuaym, kami mempercayai kamu dan kamu pun mengetahuinya,” balas pemimpin Quraisy itu. Nuaym berkata,
“Yahudi menyedari kenyataan bahawa mereka telah melanggar perjanjian dengan Muhammad. Sekarang ini mereka sedang berunding untuk mengembalikan perjanjian itu. Mereka telah menawarkan kepada Muhammad beberapa orang kamu untuk dihukum bunuh sebagai tanda taat setia orang Yahudi kepada Muhammad. Jika orang Yahudi datang kepadamu meminta orang-orangmu, janganlah engkau berikan.” Kemudiannya Nuaym memperkatakan hal yang sama kepada Bani Ghatafan.
Rancangan Nuaym ialah untuk menimbulkan syak wasangka di antara Bani Quraisy dan Bani Ghatafan dengan Bani Qurayza. Matlamat ketiga-tiga bani menyertai peperangan tidak sama. Bani Quraisy berperang untuk menghapuskan agama Islam. Semenjak Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul, pemimpin-pemimpin Quraisy Mekah merasakan kuasa politik mereka terancam. Bagi mereka yang berstatus elit ini agama Islam ini hanyalah sesuai untuk orang-orang miskin dan golongan hamba. Sementara itu, Bani Ghatafan yang menghantar askar yang kedua paling ramai dalam Perang Khandaq ini mahukan harta rampasan peperangan. Bani Quraisy menjanjikan sepertiga daripada kekayaan Madinah kepada mereka sekiranya perikatan Arab musyrikin ini berjaya menewaskan tentera Madinah. Kaum Yahudi pula memerangi Rasulullah kerana mereka memang bencikan Rasullullah. Sudah lama mereka menantikan nabi yang terakhir yang diketahui mereka akan muncul di Madinah. Selama ini, ramai nabi-nabi akhir yang muncul dari kaum Bani Israel. Mereka mengharapkan nabi terakhir itu datang dari keturunan mereka. Malah, mereka sering menakut-nakutkan kaum Aus’ dan Khazraj yang tinggal di Madinah akan kemunculan nabi itu yang kelak akan menghapuskan bangsa-bangsa Arab. Akan tetapi di luar jangkaan mereka, Muhammad SAW lahir dari bangsa Arab. Kaum Yahudi berasa terhina sekali.
Perbezaan matlamat berperang ini adalah suatu kelemahan tentera bersekutu yang dilihat oleh Rasulullah SAW. Kedatangan Nuaym membuka peluang kepada Rasullullah untuk mempergunakan taktik muslihat dalam peperangan. Walaupun peluangnya agak tipis dan berisiko tinggi, akan tetapi jika berjaya sudah pastilah ramai nyawa yang akan terselamat. Rasullullah juga menggunakan senjata yang hebat dalam menentang musuh-musuh umat Islam.
“Oh Allah, Yang Telah Memperlihatkan Kitab, Yang Maha Membuat Perhitungan, kalahkan suku kaum itu. Oh Allah, tewaskanlah mereka.Kucar-kacirkanlah mereka.”Doa Rasullullah SAW dijawab oleh Allah SWT.
“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.” Al Ahzab (33:9)Pengepungan Madinah berlangsung sudah hampir sebulan. Tentera bersekutu musyrikin datang dengan persediaan untuk peperangan yang pantas dan bukan untuk pengepungan yang lama. Bekalan makanan mereka semakin kehabisan. Moral askar-askar yang sudah bosan menunggu juga begitu teruk. Cuaca ekstrem juga menambahkan kesukaran pengepungan mereka ini. Unta-unta dan kuda-kuda mereka sudah tidak larat untuk berperang. Bila-bila masa sahaja binatang-binatang ini akan mati. Mereka tidak boleh menunggu lagi. Tentera bersekutu menghantar Ikrimah dan Abi Jahal sebagai wakil kepada Bani Qurayza. Mereka meminta kaum Yahudi bersedia dan membantu tentera bersekutu untuk menyerang kaum muslimin pada hari itu juga. Kaum Yahudi mengelak mengatakan mereka tidak boleh berperang pada hari Sabbath (Sabtu) kerana ia adalah suatu larangan dalam agama mereka. Orang Yahudi juga meminta sebilangan tentera Quraisy untuk tinggal bersama mereka. Ikrimah dan Abi Jahal pulang menyampaikan berita ini. Abu Sufyan, ketua Bani Quraisy amat marah apabila mendengar berita ini. Tidak akan ada seorang pun dari mereka yang akan diserahkan kepada pihak Yahudi. Dia meyakini bahawa orang Yahudi akan membeloti mereka. Masing-masing tidak mahu beralah. Abu Sufyan memanggil Huyayy bin Akhtab dari Bani Nadir memberitahunya tentang situasi ini. Abu Sufyan menuduh orang Yahudi sebagai pembelot. Huyayy pun ketakutan dan dia melarikan diri dengan segera ke dalam pertahanan Bani Qurayza.
Bani Ghatafan yang mendapat berita ini kemudiannya juga tidak bersetuju dengan kemahuan orang Yahudi yang meminta orang-orang mereka tinggal bersama orang Yahudi. Pada ketika itulah pemimpin Bani Ghatafan menerima semula tawaran sepertiga hasil tuaian kurma Madinah yang diberikan oleh Rasullullah sebelum ini. Dengan penerimaan tawaran ini, Bani Ghatafan pun pulang semula ke Mekah meninggalkan tentera muysrikin yang lain. Maka dengan kelicikan seorang askar Muslim sahaja, berpecahlah tentera bersekutu. Bani Quraisy dan bani-bani lain yan tinggal dilanda pula dengan angin sejuk yang tidak berhenti-henti selama berhari-hari. Keadaan sangat sejuk sekali. Tentera bersekutu tidak boleh bertahan lagi. Mereka pun mengumpulkan barang-barang mereka dan pulang ke Mekah.Pengepungan itu tamat dalam masa 25 hari. Rasullullah SAW ketika melihat khemah-khemah kosong yang tertinggal lantas berkata,
“Laillahaillallah, Sodaqowa’dah,
Wanasora ’abdah, Wahazamal Ahzaa bawa’dah.”
Ertinya,
Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,
Janjinya telah tertunai,
Dan Dia memberi kejayaan kepada hambanya,
Dan Dia telah menewaskan persekutuan itu bersendirian.
Rujukan ayat Al-Quran diambil dari
sini