Oct 29, 2010
by zen non
Alam percintaan memang menakjubkan. Mencintai dan dicintai memberi nikmat dalam kepayahan. Kesenangan hati dan ketenangan jiwa diperolehi dari cinta suci yang dimuliakan dengan kesetiaan. Sungguhpun bukan indah selama adanya alam percintaan, namun alam ini selalu hadir dengan harapan. Meskipun tetap merelakan bahawa kenyataan hidup bercinta ialah gula yang meracuni, manusia tetap mahukan merasakan kemanisan dicintai.
Kisah-kisah cinta saban masa bersilangan suka dan derita. Hakikat yang tertera selalu teguh menegarkan kesungguhan insan-insan yang berusaha mendapatkan dan menyimpan cinta yang tulus suci agar diabadikan dalam pegangan. Namun telah tetap bahawa yang tercipta bersifat sementara. Takkan dedaun melekat di dahan pohon selamanya. Akan luruh di dalam lembayung musim. Maka cinta sebegitu jua. Luluh jatuh lalu terperosok di dalam ruang berdimensikan masa. Lerai berderai dimamahi usia. Lemah dan longlai ketika menghadapi kenyataan hukum angkasa. Begitulah keadaan di dalam alam percintaan. Sekejap manapun manusia menggenggam nikmat, sekuat manapun menahan ujian, setulus manapun hati insan, pasti nanti tetap tertewas dalam rela mahupun terpaksa.
Diciptakan cinta untuk manusia agar tidak berjalan sendirian. Sungguh sunyi hidup ini jikalau tiada yang mencintai kita. Oleh itu berusahalah manusia mencari pasangan yang ditakdirkan untuknya. Lelaki itu dihukumkan berpasangan dengan perempuan. Hukum ini untuk semua. Maka sang lelaki berjalan tercari-cari cinta hati, sang perempuan pula menantikan kehadirannya untuk melengkapi satu dunia. Apabila ketemu maka dunia alam cinta yang unik lagi rahsia untuk mereka pun bermula. Bukanlah mudah untuk merungkaikan tiap-tiap alam ini dengan kata-kata yang sama kerana fabrik cerita setiap pasangan yang bercinta itu terjalin dari benang-benang masa yang berbeda-beda di dalam beribu-ribu faktor-faktor seperti daerah-daerah bumi yang berlainan topografi, suhu, iklim, agama dan budaya.
Cinta terpateri apabila lafaz perkahwinan diucapkan. Menjadi suci setelah pasangan diraikan dalam akad pernikahan. Maka bersemi janji untuk saling membahagiakan. Tertunai sudah ayat-ayat kerinduan. Terus tenggelam dalam kehangatan dakapan menjalinkan harapan agar abadi dalam memori waktu pertemuan pertama setelah selesai disaksikan dan disahihkan percintaan mereka oleh masyarakat. Sungguh itulah saat yang indah. Sungguh itulah tika yang dinanti-nantikan.
Setelah dimaterikan cinta lantas bermula epilog baru diari percintaan. Hari-hari yang mendatang pasti mencabar kewibawaan. Bagaimana mungkin membuktikan kesejatian cinta kalau tiada dugaan. Hadir dan pergi ujian demi ujian. Pada pasangan yang berjaya dan bertahan akan dianugerahi dengan keluarga. Lantas kini cinta pun berganda. Semakin kukuh jika patuh pada hukum perkahwinan. Semakin teguh cinta itu jika dirumahkan. Tapak cinta ialah kerinduan. Tiang cinta janji yang dipegang. Dinding cinta dibina dari rezeki yang dilimpahkan. Bumbung cinta ialah kesedaran. Rumah cinta dihiasi anak-anak yang dilahirkan.
Rumah cinta takkan beku jika selalu dihangatkan. Dari dapur seperti reaktor tindakbalas kimia akan menggembleng tenaga alam untuk digunakan membesarkan keluarga. Pelbagai faktor membentuk pekali persamaan dalam jutaan kebarangkalian. Tapi harapan bukanlah letupan. Harapan hanya tenaga itu tidakkan kehabisan. Harapan agar pasangan itu bertemu kembali dan kekal bersama selepas masa diakhirkan. Harapan bersulam dengan pelbagai ketakutan. Ketakutan datang daripada kekurangan pengetahuan tentang rencana ciptaan. Hanya impian dalam harapan dan kepercayaan. Suatu hari nanti cerita cinta akan terungkai untuk tatapan. Ketawalah dalam kekeliruan, senyumlah dalam tangisan dan ingatilah bahawa segala yang berlaku pasti disebabkan dan direncanakan oleh Pencipta Agung di atas sana.
- 499 patah perkataan -
About This Blog
This is where I practice my writings.
Inilah tempat aku mengasah kemahiran menulis.
Segala pujian hanya kepada Allah SWT.
All praises are due to Allah The One God.
Komentar dan kritikan amat dialu-alukan.
Comments and critics are most welcome.
Pembaca boleh mengambil mana-mana artikel yang diminati, cuma jangan dinasabkan sebagai hak sendiri.
Readers may take any interesting articles, but just don't claim it as yours.