Feb 20, 2008 by zen non
by zen non
Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup

Bab 2: Pengembaraan Salman

Setibanya di Syria, Salman mencari maklumat tentang orang yang paling berpengetahuan di sana. Beliau dibawa kepada seorang biskop. Salman lantas menceritakan keinginannya untuk menganuti agama Kristian. Salman juga menyatakan kesediaannya untuk menemani dan melayani biskop itu dengan balasan biskop itu mengajarnya ilmu agama dan cara-cara beribadat.

Biskop itu bersetuju. Maka bermulalah hidup Salman sebagai budak suruhan kepada biskop tersebut. Bagaimanapun, selepas beberapa waktu, Salman mendapati biskop itu bukanlah seorang yang baik. Dia menyembunyikan emas dan perak sumbangan orang ramai untuk dirinya sendiri. Salman amat benci kepadanya. Beberapa tahun kemudian, biskop itu mati. Sejurus kematiannya, Salman memaklumkan kepada orang ramai akan perbuatan buruk biskop tersebut. Salman juga menunjukkan tempat di mana biskop itu menyorokkan tujuh buah peti berisi emas dan perak hasil dari pemberian orang ramai kepada pihak gereja. Orang ramai yang menyedari hakikat ketamakan biskop ini telah memalang mayatnya dan kemudian dilontar dengan batu.

Apabila seorang biskop yang baru dilantik, Salman terus berkhidmat di bawahnya. Biskop ini ialah seorang yang mencintai hari akhirat, bersifat warak dan suka beribadat setiap waktu. Salman amat mencintainya. Selepas beberapa tahun, biskop ini sakit tenat. Sebelum kematiannya, Salman meminta panduan berkenaan sekiranya ada orang lain yang beliau boleh berguru dengannya. Biskop itu menasihatkan Salman untuk pergi kepada seorang lelaki di Mosul. Selesai saja urusan kematian biskop itu, Salman pun pergi ke Mosul dan bertemu dengan lelaki yang disebut oleh gurunya. Salman menyambung pengajiannya di Mosul pula. Beliau tinggal bersama orang itu hinggalah ke akhir hayatnya. Bagaimanapun, gurunya yang ini juga sudah tua dan tidak lama kemudian, dia juga meninggal dunia. Sebelum itu, Salman sempat bertanyakan arah tujuannya yang seterusnya. Gurunya menyuruhnya untuk pergi kepada seorang lelaki yang warak di Nisiibiin.


Di Nisiibiin, beliau menceritakan kisahnya kepada lelaki itu, Dia tinggal bersamanya sehinggalah hayat lelaki warak itu tamat. Kemudian, daripada nasihat lelaki warak itu, Salman pergi bertemu dengan seorang lelaki di ‘Ammuriyah di dalam negara Byzantium. Salman berguru dan bekerja dengan lelaki ini. Hasil upah dari pekerjaan yang dilakukan oleh Salman, beliau memperolehi seekor biri-biri dan beberapa ekor lembu.

Semasa hampir tiba saat kematian gurunya, sekali lagi Salman bertanya kepadanya siapakah yang harus diikutinya selepas gurunya itu pergi. Gurunya menjawab bahawa tidak ada lagi pengikut ajaran Kristian yang tulen yang masih hidup selepas dia mati.

“Oh anakku, tidak lagi kutahu seorang pun di dunia ini yang mengikuti jejak yang kita ikuti sekarang. Tidak ada lagi orang yang boleh kunasihati untuk engkau pergi kepadanya. Akan tetapi kau kini melewati satu zaman yang mana akan muncul seorang nabi dari keturunan Nabi Ibrahim.”

Gurunya memberitahu Salman akan kemunculan seorang nabi yang terakhir sudah hampir. “Baginda,” kata gurunya, “adalah dari benih yang suci Nabi Ibrahim. Baginda akan berhijrah dari kampung halamannya ke sebuah bandar yang berada di tengah-tengah dua tanah yang keras yang mana akan terdapat tanaman pokok-pokok kurma yang banyak. Baginda juga mempunyai tanda-tanda yang jelas. Baginda menerima hadiah tetapi menolak sedekah. Cop kenabian terletak di antara bahunya. Jika engkau bertemu dengannya, maka kau pasti akan mengenalinya. Janganlah engkau berlengah-lengah lagi mengikuti baginda."

Tidak lama selepas pemergian gurunya yang terakhir itu, datanglah sebuah kafilah pedagang Arab melalui kota ‘Ammuriyah. Salman bertanya kepada mereka dari manakah mereka datang dan mereka menjawab mereka adalah dari puak Kalb yang berasal di Semenanjung Tanah Arab. Lantas Salman berkata,” kuberikan kamu biri-biri dan lembu-lembuku ini sebagai bayaran untuk membawaku dengan selamat ke negeri kalian.” Kafilah itu bersetuju. Salman pun mengembara bersama mereka hinggalah ke Wadi Al-Quraa.

Setibanya di sana, Salman telah dikhianati oleh kafilah tersebut. Beliau dijual kepada seorang lelaki Yahudi sebagai hamba. Lelaki Yahudi itu pula menjual Salman kepada sepupunya. Kemudian Salman dibawa ke Yahtrib. Setibanya di Yathrib, Salman mendapati banyak ladang-ladang kurma. Mengingatkan kata-kata gurunya sewaktu di ‘Ammuriyah, Salman berharap agar tempat inilah akan menjadi tempat hijrah nabi yang dicari-carinya. Akan tetapi itu bukanlah tempatnya. Salman tinggal bersama orang Yahudi itu sehinggalah suatu hari seorang Yahudi dari Bani Quraidhah datang membelinya. Salman dibawa ke sebuah ladang kurma berhampiran dengan kota Madinah. Semasa itu, Nabi Muhammad SAW sedang giat menjalankan dakwahnya di kota Mekah. Bagaimanapun perkara ini tidak diketahui oleh Salman kerana dia begitu sibuk melakukan tugas-tugasnya di ladang kurma milik tuannya.

Bertahun-tahun lamanya Salman bekerja di ladang itu. Beliau tidak boleh ke mana-mana dan tidak mengetahui apa-apa pun berita berkenaan nabi yang dicarinya. Namun, oleh kerana keyakinannya kepada pengetahuan yang dimilikinya dan kesungguhannya menimba ilmu, Salman tetap bersabar melakukan tugas-tugasnya sebagai seorang hamba. Suatu hari, sewaktu Salman berada di atas sepohon kurma untuk memetik buahnya dan tuannya sedang duduk di bawah pohon, datanglah seorang lelaki Yahudi. Dia adalah sepupu kepada tuannya. Dia datang dan berkata,

“Semoga Allah menghapuskan Bani Qubaa’. Mereka sedang menyebarkan khabar angin mengatakan kehadiran seorang lelaki di Qubaa’ yang datang dari Mekah mendakwa bahawa dia adalah seorang nabi.” Mendengar berita itu, Salman menggeletar. Pohon kurma yang dipanjatnya bergoyang-goyang. Hampir saja dia jatuh menimpa tuannya. Salman dengan segera meluncur turun. “Apa yang engkau katakan? Apakah berita itu?”, soal Salman sebaik saja kakinya mencecah bumi. Tuannya menampar Salman dengan kuat dan memarahinya. “Apa kaitannya berita ini dengan kau? Buat kerjamu!!” Lantas Salman meneruskan kerjanya.

Sesungguhnya berita ini benar-benar satu tamparan yang hebat kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Mereka sebenarnya sudah lama mengetahui akan kemunculan nabi yang terakhir ini. Oleh sebab itulah mereka tetap tinggal di Madinah dengan harapan agar nabi tersebut lahir dari kaum mereka sendiri. Alangkah tamaknya mereka sehinggakan pengetahuan mengenai nabi yang terakhir ini amat dirahsiakan dari diketahui oleh kaum lain. Akan tetapi Allah Yang Maha Berkuasa. Allah yang menentukan segala-galanya yang terjadi. Telah ditakdirkan oleh Allah bahawa nabi yang terakhir itu lahir dari keturunan orang Arab yang berbapakan Nabi Ismail alahissalam.

Pada waktu malam, Salman mengumpulkan buah-buah kurma yang jatuh dan pergi ke Qubaa’. Ketika itu Rasullullah menetap di Qubaa’ bersama Bani ‘Amr Ibn ‘Awf. Di sana, beliau bertemu dengan Rasullullah yang sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya. Salman berkata kepada Rasullullah, “Kamu amat memerlukan dan kamu adalah seorang asing di tempat ini. Aku mempunyai sedikit makanan yang ingin kusedekahkan. Apabila aku melihat tempat tinggalmu, aku merasakan kau amat memerlukannya dan aku datang untuk memberimu makanan yang aku ada ini.” Lantas Salman meletakkan buah-buah kurma tersebut. Rasullullah SAW pun bersabda kepada sahabat-sahabatnya,” Makanlah dengan nama Allah”. Baginda tidak menyentuh pun buah-buah kurma tersebut. Di dalam hati, Salman berkata, “Demi Allah, ini adalah satu petanda. Dia tidak makan sedekah!”

Keesokan harinya, Salman datang lagi bertemu Rasullullah membawa buah-buah kurma lagi. Kali ini beliau berkata, “ Aku melihat engkau tidak mengambil bahagian sedekah. Aku mempunyai sedikit makanan dan aku ingin memberimu sebagai hadiah.” Salman meletakkan buah-buah kurma itu disisi Rasullullah. Baginda berkata kepada sahabat-sahabatnya, “ Makanlah dengan nama Allah”. Dan baginda pun makan bersama mereka. Melihatkan perkara ini, Salman berkata kepada dirinya sendiri, “Benarlah ini adalah petanda kerasulan yang kedua. Baginda mengambil hadiah.” Kemudiannya Salman pun pulang.

Selama beberapa ketika Salman tidak pergi menemui Rasullullah. Suatu hari, sewaktu Rasullullah baru sahaja selesai mengebumikan seorang sahabatnya di Baqi’ Al-Gharqad, Salman datang menghampiri baginda. Semasa itu, Rasullullah sedang duduk. Baginda memakai sehelai kain dan sehelai lagi kain diletakkan dibahunya. Sahabat-sahabat duduk di sekeliling baginda. Salman mengucapkan salamnya kepada Rasullullah. Kemudian Salman membongkok untuk melihat belakang baginda. Rasullullah mengetahui apa yang ingin dicari oleh Salman. Baginda menjatuhkan kain di bahunya. Nah, terserlahlah tanda di antara bahunya, cop kenabian miliknya jelas kelihatan seperti yang dikatakan oleh gurunya di ‘Ammuriyah dahulu.

Apabila ternampak sahaja petanda yang ketiga, yakinlah Salman bahawa yang dihadapannya adalah nabi yang dicari-carinya selama ini. Beliau terus memeluk dan mencium Rasullullah. Salman menangis teresak-esak. Rasullullah menyuruh Salman duduk di sampingnya dan memintanya menceritakan kisah beliau. Rasullullah berasa kagum mendengar cerita Salman. Baginda meminta agar Salman menceritakan kisah hidupnya kepada sahabat-sahabat lain. Di saat itulah Salman akhirnya berjaya mencapai tujuannya. Beliau telah menemui lautan ilmu di sisi Rasullullah. Pengembaraannya yang jauh telah sampai ke destinasi. Segala pahit maung perjalanan hidupnya kini terasa manis sekali.

Salman telah mengucapkan kalimah syahadah di hadapan Rasullullah. Maka bermulalah kehidupan beliau sebagai salah seorang sahabat Rasullullah yang terbaik. Sahabat-sahabat yang lain memberi gelaran Salman Al-Farisi kepadanya iaitu bermaksud Salman Si Parsi.

- tamat Bab 2 -
Feb 17, 2008 by zen non
Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup
Bab 1: Salman di Negara Parsi

Pada zaman dahulu manusia hidup beramai-ramai di kawasan berhampiran sungai. Lebih besar sungai itu lebih banyaklah sumber makanan yang boleh diperolehi samada dari kegiatan perikanan ataupun pertanian. Ini adalah kerana sungai akan membawa tanah dari kawasan pergunungan dan kemudiannya dilimpahkan di kawasan lembah yang lebih rendah. Tanah dari gunung kaya dengan mineral yang boleh menyuburkan tanam-tanaman di darat dan juga di dalam sungai. Sungai Nil berkembar yang mengairi sembilan buah negara contohnya, mengairi dataran Afrika yang sangat luas sebelum melimpahi Laut Mediterranean. Sungai Nil Biru yang berpunca dari Tasik Tana di Ethiopia dan Sungai Nil Putih yang datang dari himpunan tasik-tasik besar di pertengahan benua Afrika telah menjadi pemangkin oleh manusia untuk mendirikan negara seawal tahun 8,000 BC, iaitu 10,000 tahun dahulu.

Sungai Euphrates dan Sungai Tigris juga merupakan sungai yang besar di atas bumi ini. Kedua-dua sungai ini berasal dari tempat yang sama, di Pergunungan Ararat dan Pergunungan Taurus di Turki seterusnya berakhir di Teluk Parsi. Manusia telah tinggal di kawasan limpahan kedua-dua sungai semenjak tahun 4,000 BC lagi. Malah menurut kisah Israiliyat, air Sungai Nil dan Sungai Tigris-Euphrates berasal dari syurga dan darinyalah air berpunca di bumi ini.

Kira-kira 2,600 tahun yang lepas, lahirlah sebuah negara yang besar dan kuat di tebing Sungai Tigris. Negara ini dikenali sebagai Empayar Parsi. Empayar ini menguasai sebahagian besar daripada tanah di Dataran Iran, barat benua Asia dan juga Asia Tengah. Empayar ini mempunyai raja-raja yang gagah dan askar-askar yang hebat di medan peperangan. Empayar ini boleh dikatakan sebagai di antara kuasa besar dunia selama kira-kira 1,250 tahun. Bagaimanapun, malangnya raja dan rakyat Empayar Parsi adalah kaum yang menyembah api. Mereka dikenali sebagai kaum Majusi atau lebih dikenali di Barat sebagai kaum Zoroastrian. Kaum ini sangat jahat dan sering melakukan kerosakan di muka bumi. Raja-raja mereka amat suka berperang dan menakluk negara-negara lain. Jika tidak ada orang-orang Rom di sebelah barat dan orang-orang Cina di sebelah timur yang kuat menahan serangan mereka, maka sudah pastilah Empayar Parsi telah menguasai seluruh dunia pada ketika itu. Begitulah ketentuan Allah Taala Yang Maha Bijaksana.

Walaupun rata-rata penduduk Parsi adalah kaum yang telah mengingkari Allah, namun dari celah-celah kesesatan itu, bangkitlah seorang insan yang berfikir tentang keagungan Tuhan dan berusaha mencari hakikat kebenaranNya. Namanya adalah Salman dan ini adalah kisah hidup beliau. Cerita perjalanan hidup Salman disampaikan sendiri oleh beliau kepada sahabat-sahabatnya dan kemudian diabadikan dalam sejarah perjalanan manusia yang gigih menuntut ilmu.

Salman dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Jai (Jayyan atau Jian) di kota Isfahan di Parsi. Nama yang diberikan oleh bapa beliau ialah Rouzbeh. Bapanya seorang yang kaya-raya, rumahnya agam dan ladangnya banyak.

Di zaman itu, rumah orang kaya-kaya adalah sangat besar, mempunyai halaman yang luas dan dipagari oleh tembok di sekelilingnya. Orang kaya-kaya ini mempunyai ramai hamba yang menguruskan kebersihan dan makan minum mereka sekeluarga. Mereka memiliki banyak harta dan tanah, menguasai perniagaan di pasar-pasar dan mempunyai jawatan yang penting di dalam kerajaan. Juga menjadi satu kebiasaan di zaman tersebut bahawa jawatan yang mereka pegang akan diwariskan kepada anak-anak lelaki mereka.

Bapa Salman juga adalah sebegitu. Bapanya bertugas sebagai Dihqan, iaitu ketua yang menjaga api di dalam kuil. Selama beratus-ratus tahun lamanya api yang mereka sembah itu tidak pernah padam. Salman juga dididik oleh bapanya untuk menggantikan tempatnya kelak sebagai penjaga api kuil. Di dalam kuil, Salman ditugaskan untuk memastikan kayu-kayu sentiasa dimasukkan ke dalam api supaya ianya tidak terpadam. Sekiranya api ini padam, sudah pastilah Salman dan keluarganya akan dihukum berat oleh raja. Walaupun tidak disukainya, Salman tetap setia melakukan tugas ini untuk menghormati perintah bapanya.

Semenjak dari kecil lagi Salman amat dikasihi dan dimanjakan oleh bapanya. Malah, disebabkan oleh terlalu sayangkan beliau, bapanya tidak membenarkan langsung Salman keluar dari rumahnya. Salman hanya dibenarkan bermain-main di dalam kawasan rumahnya. Dia tidak dibenarkan ke mana-mana melainkan ke kuil sahaja untuk menjalankan tugasnya.

Suatu hari, bapanya kesibukan dan tidak dapat menguruskan ladangnya yang sedang menghasilkan tuaian. Oleh itu, bapanya mengarahkan Salman untuk pergi melihat kerja-kerja penuaian dilakukan. Sewaktu perjalanan pergi, Salman melintasi sebuah gereja Kristian. Kedengaran oleh Salman dari dalam gereja orang-orang sedang beribadat. Lantas beliau berasa hairan. Sepanjang usianya, Salman tidak mengetahui langsung mengenai agama ini meski agama yang lain-lain.

Dengan rasa ingin tahu, Salman memasuki gereja itu. Ibadat yang mereka lakukan benar-benar menarik minat Salman untuk mempelajari agama ini. Beliau berpendapat agama Kristian adalah lebih baik dari agama yang dianutinya. Beliau terus duduk di dalam gereja tersebut hinggalah ke petang. Tugasnya di ladang langsung diabaikan. Sebelum pulang, Salman sempat menanyakan di manakah pusat perkembangan agama ini. Menurut orang-orang di dalam gereja itu, ianya berada di Negara Syria Lama.

Pada waktu malam, sekembalinya Salman ke rumah; bapanya bertanyakan perihal di ladang. Lalu Salman menceritakan pengalamannya di siang hari. Bapanya terkejut. Dia cuba meyakinkan Salman bahawa agama mereka adalah lebih bagus daripada agama Kristian. Apabila Salman membantah, beliau terus dikurung oleh bapanya dan dirantaikan kakinya. Bapanya takut bahawa kelak Salman akan menganuti agama Kristian.

Akan tetapi Salman bukanlah seorang yang mudah mengalah kepada nasib. Melalui hambanya, Salman menghantar mesej kepada beberapa orang Kristian untuk memaklumkan kepadanya andai ada kafilah dari Syria datang ke kota Isfahan. Beberapa ketika kemudian, tiba mesej kedatangan kafilah tersebut. Salman yang telah bersedia, memecahkan kunci rantai di kakinya dan keluar dari rumahnya secara sembunyi-sembunyi. Dengan berhati-hati, Salman mengikuti kafilah itu pulang ke Syria.

-tamat Bab 1-
Jan 21, 2008 by zen non
Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup

Bab 0 - Pendahuluan

Ilmu yang paling tinggi adalah ilmu ketuhanan. Orang yang benar-benar mengetahui dan mengenali Tuhan yang sebenar, hidupnya adalah di antara harapan dan ketakutan. Harapan utamanya adalah untuk dapat bertemu dengan Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. Manakala ketakutannya kepada Tuhan Yang Maha Mengawasi adalah begitu kuat sehinggakan dia sangat berhati-hati dalam setiap langkah yang diambilnya supaya tidak melakukan kesalahan. Jika tersilap langkah, lekas-lekaslah dia memohon keampunan dan menyesali kesalahan itu walaupun di mata orang lain tidak kelihatan pun apa-apa. Begitulah keadaannya orang yang memiliki ilmu ini.


Para rasul dan nabi menguasai ilmu ini. Kemudiannya para rasul akan menyampaikan pengetahuan mereka kepada umat masing-masing supaya ilmu ini dapat dipelajari oleh semua kaumnya walaupun ada yang hanya mampu mempelajari setakat satu dua kalimah sahaja. Kesukaran untuk menguasai ilmu adalah kerana ianya memerlukan kepercayaan dan keyakinan yang kuat bahawa Tuhan itu ada dan Tuhan itu adalah satu, iaitu Allah Subhanahuwataa’la. Kemudiannya, dengan iman yang kuat inilah seseorang dapat menghayati dan mengamalkan ajaran yang disampaikan oleh Allah kepada manusia melalui amanat para rasul.

Bagaimanapun, di dalam kisah perjalanan manusia yang amat panjang, bukanlah semua orang beriman kepada Allah. Ada di antara manusia yang langsung tidak mempercayai bahawa Tuhan itu wujud sepanjang hidupnya di dunia ini. Ada juga yang mempercayai Tuhan itu ada, tetapi mereka menyembah selain dari Allah. Malah lebih teruk lagi, ada segelintir manusia yang berani mengaku dirinya adalah Tuhan seperti Firaun dan Namrud. Orang yang beriman pula, tidak semua yang benar-benar patuh kepada ajaran Allah. Ada yang beriman, tetapi tidak takut untuk melakukan dosa. Ada juga orang yang beriman, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam mengamalkan apa yang dipelajari. Dan ada yang beriman, tetapi tidak berusaha mempelajari agama Islam yang diajarkan oleh Allah melalui rasul-rasulNya. Begitulah susahnya untuk menguasai ilmu yang paling tinggi ini.

Sungguhpun demikian, Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih menyediakan segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh manusia untuk mentadbir bumi ini. Air, angin, api dan tanah adalah pemberian Allah kepada manusia untuk digunakan dengan penuh kesyukuran. Daripada elemen-elemen utama inilah, hujan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan mineral bumi terhasil. Dia Yang Maha Mengetahui melengkapi setiap manusia dengan nafsu dan akal, dua peralatan yang sangat berguna untuk manusia mempunyai kehendak yang mampu dilaksanakan meskipun wujud keterbatasan kebijaksanaan.
Tidak cukup dengan itu, Allah Taala sedia mengampunkan kesalahan yang dilakukan oleh setiap manusia. Tidak kira sebesar mana pun kesalahan itu, jika manusia benar-benar ikhlas memohon keampunan dan berusaha ke arah kebaikan, Allah akan ampunkan.

Ilmu ketuhanan hanya boleh dicapai melalui pengetahuan tentang Islam, satu-satunya agama yang benar di sisi Allah. Segala susah payah manusia telah disediakan hadiah untuk mereka yang berjaya di dalam ujian di atas muka bumi ini. Ganjaran untuk mereka ini adalah hidup gembira selama-lamanya di dalam sebuah tempat yang dinamakan syurga. Di dalamnya, ada sungai yang mengalirkan susu dan madu, ada buah-buahan yang tidak terbayang keenakannya, istana-istana yang diperbuat dari permata syurga untuk kediaman, dayang-dayang dewi syurga yang melayan setiap kehendak dengan patuh, isteri yang kecantikannya berjuta cahaya, malah ada apa sahaja yang diminta. Dan hadiah yang paling besar di syurga adalah dapat bertemu dan berbicara dengan Allah, Raja sekalian alam.

- pendahuluan tamat –
Jan 16, 2008 by zen non
Dunia ini bakal kekurangan makanan. Tanda-tanda kecil sudah pun kelihatan. Mesej ini bukan satu ugutan. Malah senang kukatakan hanya satu persinggahan.

Apabila berjalan manusia perlukan makanan. Beras, gandum, jagung, oat dan barli. Lima bijiran makanan utama. Lima bijiran untuk merentas benua. Lima bijiran mungkin ditaburkan oleh baginda ayahanda.

Seperti manusia, haiwan ruminan juga makan bijiran. Seandainya manusia itu bijaksana, pastikan dia mengurangi makan daging. Mungkin hingga ke tahap sebulan sekali. Maka hasilnya adalah permintaan daging yang kurang. Selanjutnya mencukupkan bekalan bijiran untuk semua dari Peru hingga ke Afrika. War-warkan ikan sebagai sumber protein utama. Selain mempromosikan kekacang seperti soya dan tanah hitam bernama "terra preta".

Terra preta do indio nama diberi, tanah hitam India nama serasi. Terra preta ditemui oleh seorang ahli kaji tanah Belanda bernama Win Sombroek (1).

Tanah ini tersebar bertumpuk-tumpuk di serata Lembangan Sungai Amazon di dalam Tanah Amozonia. Luas setiap tumpukan adalah di antara dua ke tiga ekar dan ada juga yang mencapai keluasan 30-40 ekar. Lapisan tanah hitam ini seumpama tahi lalat pada kulit manusia yang mulus. Hitam yang tebal menyimpan rahsia. Rahsia dibongkar oleh seorang anak petani yang zaman kanak-kanaknya telah menempuhi kebuluran ketika Perang Dunia Kedua.
Sebidang tanah hitam ini lebih subur daripada tanah Amazon biasa di sekelilingnya. Ketebalan dua meter (6.5 kaki) bunga tanah terra preta kaya dengan zat-zat makanan utama untuk tumbuhan. Oleh yang sedemikian, tumbuhan yang hidup di atas tanah Amazon biasa lebih kerdil berbanding tumbuhan yang membesar dengan terra preta. Bukanlah suatu yang memeranjatkan pun apabila kita mengetahui bahawa bunga tanah Amazon biasa hanyalah setebal 20cm(8 inci) sahaja.

Berlori-lori tanah hitam diangkut dari kawasan penimbunan sampah. Tanah itu perlu sampai ke rumah-rumah.

Suri-suri menanam padi,
Padi ditanam di sekitar halaman,
Hari-hari menyiram budi,
Anak-anak budiman bergelar insan.

Senario idaman memanglah indah. Kalau padi boleh ditanam di rumah, pastikan mewah para keluarga; pastilah murah beras dan nasi.
Situasi hakiki bukanlah cantik. Hampir 3 juta tan permintaan beras negara saban tahun. Beras simpanan tahun 2008 hanyalah 18% daripada keseluruhan permintaan. Amat sedikit yang ditabung untuk detik-detik kecemasan. Mungkin lain-lain negara mengalami masalah yang sama. Permintaan bijiran yang tinggi di dunia jadi ukuran. Jumlah keseluruhan penggunaan bijiran di seluruh dunia pada tahun yang sama adalah sebanyak 1,772 juta tan. Walaupun pengeluaran keseluruhan bijiran tahun itu adalah 1,793 juta tan, namun ketara gentingnya dunia mencari makan.

Bukan sahaja manusia yang makan bijiran. Itulah punca dunia tidak cukup makanan.
Bukan sahaja bijiran yang dimakan oleh manusia. Itulah cabaran mengenyangkan semua orang.

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku hidup bukan di dalam lautan yang menenggelamkan. Aku bernafas di atas tanah yang berhutan duri yang perlu ditebas jika mahu membuka jalan.

Dengan kapak, dengan parang, dengan pedang dan dengan senapang manusia mencari jalan untuk membuka tanah. Dengan huduh dan dengan yang indah-indah lansdskap bumi dilukis semula oleh manusia.

Tanah hitam, tanah perang, tanah merah dan warna-warna di antara mereka. Tidak terbilang zat berkhasiat terkandung di dalam setiap jenis tanah. Aluvium, misalnya; mampu menundukkan padi di bendang yang luas terbentang. Inilah bunga tanah yang menyuburkan banyak negara dan bangsa. Lapisan bawah aluvium menakung air sementara di atas bercampur lumpur.

Satu replikasi sawah mini pasti jadi sensasi seluruh negeri.

Namun berangan aku tidak mahu.

Rujukan
Jan 10, 2008 by zen non
Ahmedinejad's Blog

Presiden Mahmoud Ahmedinejad adalah presiden ke-enam Republik Iran. Beliau memenangi undian pemilihan presiden 2005 dan mula menjawat tugas tersebut pada tanggal 6 Ogos 2005 pada usia 49 tahun. Walaupun beliau adalah presiden kepada sebuah negara Islam yang dikenali dengan mazhab Syiah, yang bertentangan dengan mazhab Ahlussunnah Wal-Jamaah, namun kisah hidup beliau tetap saya paparkan sebagai contoh seorang ketua yang patut diteladani corak kepemimpinannya.

Presiden Ahmedinejad dilahirkan di kota Garmsar, yang terletak berhampiran dengan ibu kota Tehran. Bapanya adalah seorang tukang besi. Beliau adalah seorang sarjana PhD. dalam jurusan kejuruteraan lulusan Universiti Sains dan Teknologi Iran. Kemudiannya beliau bertugas sebagai pensyarah di universiti tersebut. Karier politik beliau bermula sebagai gabenor wilayah Ardabil dan kemudiannya dipilih menjadi Datuk Bandar Tehran.

Sewaktu beliau mula-mula melangkah ke pejabat Presiden, perkara pertama yang dilakukan oleh Presiden Ahmedinejad adalah mendermakan semua karpet yang bermutu tinggi di pejabat tersebut kepada sebuah masjid di Tehran. Karpet-karpet itu kemudiannya digantikan dengan karpet-karpet yang murah. Seterusnya, beliau mengarahkan pejabat protokol untuk menyediakan sebuah bilik biasa yang mempunyai perabot kayu sahaja bagi menggantikan sebuah bilik istirehat untuk menerima VIP yang terlalu besar dan mewah. Beliau juga mengarahkan agar kapal terbang peribadi presiden digunakan untuk urusan penghantaran dan kargo negara. Menurut beliau, langkah ini dapat menjimatkan perbelanjaan harian negara. Beliau hanya terbang dengan menggunakan pesawat penerbangan biasa dan duduk di kelas ekonomi sahaja.

Kemudian Presiden Ahmedinejad sendiri mengisytiharkan harta-harta yang dimiliki oleh beliau sebelum menjadi presiden. Di antaranya adalah sebuah kereta Peugeot 507 keluaran tahun 1977, sebuah rumah kecil yang diwarisi dari bapa beliau kira-kira 40 tahun lepas yang terletak di kawasan orang miskin di Tehran, akaun bank dengan baki sifar dan wang yang masuk ke dalam akaun tersebut hanyalah gaji beliau sebagai pensyarah universiti iaitu kira-kira USD250 atau RM950 sahaja.

Sehingga kini, rumah beliau adalah rumah yang sama didudukinya sebelum menjadi presiden. Malah gaji beliau sebagai presiden langsung tidak diusik dengan alasan ianya adalah milik negara dan beliau perlu bertanggungjawab untuk menjaga kekayaan negara.


Apa yang lebih menarik lagi mengenai presiden ini, adalah sikapnya yang merendah diri. Beliau sering kelihatan menyertai pekerja-pekerja yang membersihkan jalan-jalan di sekitar rumah dan pejabat beliau. Ketika ke pejabat, beliau akan menggalas sebuah beg yang diisi dengan sarapan pagi yang disediakan oleh isteri beliau, iaitu beberapa keping sandwich atau roti yang dimakannya dengan penuh nikmat bersama minyak zaitun dan keju.

Bagaimanapun, ketika bertugas beliau adalah seorang yang tegas. Menteri-menteri yang dilantik oleh beliau perlu menandatangani sebuah dokumen perjanjian yang mana di antara isi-isi pentingnya adalah menteri tersebut perlu berada dalam keadaan miskin, akaun mereka dan saudara mereka akan dipantau dan mereka perlulah meninggalkan pejabat dalam dengan mendokong maruah kepemimpinan. Oleh itu, menteri-menteri terbabit dan saudara-saudara mereka tidak boleh mengambil kesempatan di atas kuasa yang mereka miliki.

Dari masa ke semasa, Presiden Ahmedinejad akan mengadakan perjumpaan bersama menteri-menterinya untuk mengetahui aktiviti dan keberkesanan tindakan mereka. Setiap menteri dibenarkan masuk ke pejabat presiden pada bila-bila tanpa perlu protokol keizinan. Beliau juga menghentikan amalan menyambut kenamaan secara berlebihan seperti pembentangan karpet merah, sesi fotografi atau mana-mana promosi peribadi kenamaan tersebut ketika mereka membuat lawatan ke mana-mana bahagian dalam negara.

Malah beliau sendiri akan meminta untuk ditempatkan di dalam bilik hotel yang tidak berkatil ketika membuat lawatan jauh. Ini kerana beliau lebih suka tidur di atas lantai berlandaskan alas tilam nipis dan berselimut sahaja.

Suatu ketika apabila beliau ditanya oleh Fox News TV (USA) sewaktu lawatan beliau ke negara Amerika Syarikat,
"Apakah yang anda katakan kepada diri anda sewaktu melihat cermin di waktu pagi?"

Beliau menjawab,
"Saya melihat diri saya dan mengatakan; ingatlah, kamu tidak lebih dari seorang hamba yang kerdil, di hadapanmu hari ini adalah tanggungjawab yang besar, iaitu memimpin negara Iran."

Foto-foto di bawah membuktikan perkara di atas: dari atas kiri ke kanan

Gambar 1: Presiden Iran sedang tidur di bilik tetamu di rumahnya selepas menghindari pengawal-pengawal keselamatan beliau yang mengikuti beliau ke mana sahaja. Menurut akhbar Wifaq yang menyiarkannya, gambar ini diambil oleh adik lelaki beliau. Keesokan harinya gambar ini tersebar ke suratkhabar dan majalah merata dunia terutama sekali di Amerika Syarikat.
Gambar 2: Semasa solat, jelas sekali beliau tidak duduk di saf hadapan.
Gambar 3: Presiden sedang makan hidangan yang sederhana.



*Diterjemahkan dari sepucuk mel-e yang dihantar oleh sahabatku, Khairil Mark.
Dec 18, 2007 by zen non
Kisah Para Shuhadaa’ di Bosnia, 1992 – 1995
(diterjemahkan dari Stories of the Shuhadaa` of Bosnia 1992-1995 keluaran Azzam Publications)
English version available here
Audio version (English)

Shuhadaa' Kedua
ABU SAIF ASH-SHAHRANI & ABU HAMAD AL-OTAIBI
Saudi Arabia

Pengkhabaran pertama.

Terbunuh pada tahun 1993 semasa operasi ketenteraan mempertahankan sebuah kota Muslim daripada serangan puak Serbia. Usia mereka adalah di awal 20-an.

"Mereka mencintai di antara satu sama lain di dunia ini, dan mereka akan mencintai di antara satu sama lain di akhirat nanti."

Abu Saif adalah seorang tentera kerajaan Arab Saudi. Suatu hari ibunya melihat berita yang melaporkan penghapusan Muslim Bosnia. Beliau lantas berkata kepada Abu Saif, "Anakku bangun dan pergi! Lihatlah apa yang mereka lakukan; mereka membunuh saudara-saudaramu dan memperkosa saudari-saudarimu. Anakku, bangkitlah dan pergilah, aku tak mahu melihat engkau lagi!"

Abu Saif pun mengembara ke Riyadh di mana dia bertemu rakan seperjalanannya, Abu Hamad Al-Otaibi. Mereka berdua kemudiannya mengembara ke Bosnia. Selepas menempuh perjalanan yang sukar dan panjang, mereka tiba di perkhemahan tentera Mujahidin pada suatu hari Rabu. Ketika itu mereka berdua telah menjadi sahabat yang karib. Kecintaan mereka berdua diperakui oleh semua Mujahidin yang berada di situ. Setelah melengkapi tempoh latihan, mereka kemudiannya sampai di perbatasan perang di sebuah kampung bernama Biala-Bucha juga pada suatu hari Rabu.


Pada malam pertama di perbatasan, Abu Khalid Al-Qataree (RA) mengisahkan apa yang telah berlaku, "Abu Hamad menemuiku pada jam 1 pagi, mengejutkanku dari tidur seraya berkata,'Abu Khalid, bangunlah! Satu solat pada malam ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.' Akupun bangun lalu berwudu'. Bila aku kembali, Abu Hamad tidak kunampaki, dan kemudiannya aku menemui beliau di dalam sebuah bilik kecil menyimpan senjata di satu sudut rumah. Kulihat Abu Hamad sedang bersolat, menangis dan berdoa, 'Allahumarzuqni -Shahadah, Allahumar - zuqni - Shahadah, (YA ALLAH kurniakanlah aku dengan syahid! O' YA ALLAH kurniakanlah aku dengan syahid!)"

Abu Hamad datang ke Bosnia walaupun beliau sedang sakit yang teruk, di mana penyakitnya menyebabkan beliau mengalami tidak tidur malam akibat menahan derita kesakitan. Beberapa orang sahabat Mujahidin pernah mendengar beliau menangis dan menghantukkan kepala ke dinding di tengah malam. Abu Hamad selalu membawakan air dari perigi untuk sahabat-sahabatnya, tanpa mengira samada giliran tugas beliau atau tidak.

Suatu malam, puak Serbia melancarkan serangan ke kampung itu. Maka Mujahidin pun keluar menentang mereka. Abu Saif berada di hadapan kumpulan tersebut manakala Abu Hamad bertempat di belakang. Sebutir peluru 120mm terkena Abu Hamad. Ianya menembusi mulut dan kerongkong Abu Samad.Abu Hamad lantas jatuh, beliau sempat meluruskan jari telunjuknya sebanyak tiga kali dan mengekalkannya lurus pada kali yang ketiga sebelum rohnya diambil oleh ALLAH. Semua Mujahidin lain bersetuju untuk merahsiakan kematian beliau daripada Abu Saif kerana Abu Saif pasti akan berduka apabila mendengar berita itu nanti.

Selepas letupan itu, Abu Saif menemui saudara-saudara lain dan terus menanyakan mereka tentang Abu Hamad. Para Mujahidin menjawab bahawa Abu Hamad telah kembali ke kampung dan beliau meninggalkan sepucuk mesingan PK kepada Abu Saif. Mendengar sedemikian, Abu Saif sangat gembira dan menerima mesingan itu. Di dalam operasi selanjutnya, Abu Saif yang berada di hadapan telah membunuh ramai penentang-penentang Serbia dengan mesingan Abu Hamad sebelum dia ditembak dua kali di kepala dan satu kali di jantungnya. Beberapa ketika Abu Saif merenung sesuatu di langit. Sahabat-sahabat kehairanan melihat apa yang dilakukan oleh Abu Saif. Kemudian Abu Saif jatuh di dalam keadaan bersujud, tangannya masih memegang mesingan Abu Hamad. Beliau berada di dalam kedudukan itu selama beberapa saat, menyebut, "ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!" Seorang sahabat cuba mengambil mesingan itu dari tangan beliau, akan tetapi pegangannya begitu kuat. Beliau tidak melepaskan langsung senjata itu sehinggalah nyawanya melayang.


Abu Saif dan Abu Hamad disemadikan bersama di dalam sebuah kubur pada hari Rabu, seperti dua orang Sahabat yang syahid di dalam peperangan di waktu Rasullullah SAW. Rasullullah SAW bersabda, "Mereka mencintai di antara satu sama lain di dunia ini, dan mereka akan mencintai di antara satu sama lain di akhirat nanti."
Dec 9, 2007 by zen non
Nurin telah pergi. Dia pergi menemui Penciptanya. Kepada ayah dan ibu Nurin, ketahuilah bahawa dia pergi menemui Allah SWT dalam keadaan tidak berdosa. Dan kini rohnya sedang bergembira bersama-sama anak-anak kecil lain yang meninggal dunia sebelum mencecah usia baligh. Semoga dia menunggu dan memimpin tangan kalian ke pintu syurga di Hari Akhirat nanti.

Kepada pembunuh Nurin, ketahuilah bahawa ketakutan akan menghantui sepanjang hayatmu. Nantikanlah balasan dari Allah, seadil-adilnya Pemberi Balasan. Penyiksaan yang amat berat untukmu menanti di kala kematianmu menjelang melainkan engkau benar-benar telah insaf dan bertaubat, dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Pengampun, Maha Penyayang lagi Maha Penerima Taubat jika engkau benar-benar ikhlas bertaubat.

Kepada rakyat Malaysia, dengarkanlah...
Kisah sedih pemergian Nurin telah menjadi satu titik tolak kepada kesedaran seluruh rakyat bahawa kini kita tinggal di ambang keruntuhan tembok moral masyarakat Timur yang telah sekian lama retak, retak yang menanti belah. Setiap dosa yang dilakukan oleh setiap orang menyumbang kepada keretakan tembok ini. Malah, keretakan ini dibesarkan lagi oleh peranan mereka yang suka menyebarkan perkara-perkara yang buruk melalui mulut mahupun tangan. Menelaah media massa saban hari menunjukkan bahawa masyarakat kini lebih gemar mendengar berita-berita dosa yang dilakukan oleh orang lain. Sesungguhnya, bencana yang menimpa Nurin kita yang menabur benihnya.

Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad SAW, bukankah kita diajar untuk menyebarkan kebaikan dan menutup kejahatan? Apakah rasionalnya apabila kita sesuka hati boleh bercakap-cakap tentang keburukan orang lain? Bagiku ia hanya memburukkan imej Islam.Sesungguhnya perbuatan sebegini akan hanya menyemai benih-benih kejahatan dan kerosakan di tanah milik Allah. Lalu apabila ada di antara kita yang menuainya nanti, apakah kita juga tidak bersubahat menanggungnya dosanya sekali. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu datang dari diri kita sendiri. Perhatikanlah apabila satu jari yang yang menuding, tersembunyi tiga lagi jari yang menunjuk pada diri sendiri.

Ketahuilah, bahawa menangkap pembunuh Nurin adalah suatu kemungkinan yang sukar untuk dicapai memandangkan dia atau mereka kini melangkah dengan lebih berhati-hati lagi. Walaubagaimanapun, dia/mereka pasti tidak akan terlepas dari pengadilan Allah SWT. Namun demikian, suatu pengajaran yang sering kita abaikan adalah bahawa tidak sepatutnya berita siasatan kes-kes sebegini dicanangkan ke seluruh pelosok kampung, hingga menyusahkan pihak berkuasa untuk bertindak. Adalah lebih baik jika berita baik akan kejayaan pihak berkuasa menangkap penjenayah disebarkan berbanding penyebaran berita kejayaan penjenayah melakukan suatu jenayah. Sesungguhnya ketidaksabaran kita untuk menanti kemenangan kepada pihak yang baiklah yang selalunya memberi peluang kepada kejahatan untuk meloloskan diri dari meja pengadilan.

Perhatikanlah,
Yang masih hidup menggunakan si mati untuk agenda peribadi. Ada yang ingin popular dengan pelbagai kaedah untuk mengisahkan si mati, malah ada yang membuat keuntungan dengan nama si mati. Tiada pencapaian apabila membincangkan si mati, kecuali mengingatkan kematian kepada diri sendiri. Kasihan keluarga si mati, terpaksa menanggung tangis dan sedih jiwanya di hadapan tontonan pemuka-pemuka yang berwajah bersimpati. Kasihanilah mereka. Tidaklah perlu kita membawa mereka ke mana-mana lagi. Berilah mereka ruang untuk meneruskan perjalanan kehidupan sendiri.

Jika kita benar-benar ingin melakukan sesuatu, sudah tentu kita boleh melakukan sesuatu yang lebih baik dari cakap-cakap yang akhirnya tidak pasti. Rakyat boleh menyuruh syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memberikan perkhidmatan pesanan sebagai satu medium pantas untuk memberitahu semua orang akan kehilangan seseorang. Perkhidmatan ini hanyalah menggunakan senadi tenaga yang sewajarnya diberikan secara percuma oleh syarikat telekomunikasi kerana riakbalas akan melipatgandakan nadi tenaga tadi dan sewajarnya ia akan membalas budi syarikat-syarikat telekomunikasi ini. Untuk menangani riakbalas ini, perlunya ada sebuah pusat yang mengumpul, menganalisa dan seterusnya menentukan tindakan selanjutnya. Di sinilah hadirnya peranan pihak pemerintah mentadbirkan perkhidmatan yang boleh dipanggil sebagai Nurin Alert ini.
Dec 2, 2007 by zen non
Kisah Para Shuhadaa’ di Bosnia, 1992 – 1995
(diterjemahkan dari Stories of the Shuhadaa` of Bosnia 1992-1995 keluaran Azzam Publications)
English version available here
Audio version (English)


Shuhadaa' Pertama

ABUZ-ZUBAIR AL-MADANI

Al-Madinah Al-Munawarrah
Pengkhabaran kedua

Terbunuh semasa operasi mempertahankan Lapangan Terbang Sarajevo daripada serangan puak Serbia pada bulan Oktober tahun 1992.

Dilahirkan dan dibesarkan di Madinah, cinta pada Islam mengisi hari-hari mudanya. Bertahun-tahun masa yang dihabiskan oleh Abuz-Zubair dengan mempelajari dan menyebarkan agama Allah menjadikan beliau seorang yang dikenali di Madinah. Kemudiannya beliau mengembara ke Afghanistan untuk membantu para Mujahidin Afghanistan berperang di jalan Allah. Beliau turut serta berjuang sewaktu kota Kabul di pergunungan Hindu Kush, Jalalabad di timur dan Jaajj ditawan semula dari tentera Soviet.

Selepas penawanan kota Kabul Abuz-Zubair pulang ke Madinah selama beberapa bulan. Dengan anugerah suara merdu yang dimiliki, beliau menerbitkan sebuah kaset audio berkenaan kematian sahabat-sahabat mujahidin di Afghanistan. Nama kaset tersebut adalah 'Qawaafil-us-Shuhadaa' (Kabilah Para Syahid).

Jiwa beliau senantiasa menginginkan satu perkara sahaja, iaitu mati syahid. Suatu ketika beliau pernah ditanya, “mengapakah kamu terburu-buru untuk mati syahid, sedangkan sumbangan pada agamamu masih sedikit?”. Beliau menjawab, “Apa yang telah diberikan oleh saudara-saudaraku yang telah mati sebelumku untuk Islam. Hanya jiwa kami yang paling bernilai untuk diberikan.”

Menjelang musim panas tahun 1992, beliau terdengar berita penganiayaan umat Islam di Balkan. Bersama dengan saudaranya Abul-Abbas, beliau tiba di Bosnia. Selama dua bulan mereka berada di Bosnia sehinggalah peristiwa mempertahankan Lapangan Terbang Sarajevo. Peperangan itu amat hebat. Ramai pejuang meninggalkan medan peperangan kecuali Abuz-Zubair dan Abul-Abbas. Mereka terus berada di sana dan berjuang hingga ke titisan darah terakhir mempertahankan Lapangan Terbang Sarajevo dari serangan tentera Negara-Negara Bersekutu Mesir. Akhirnya jiwa mereka gugur syahid di medan perjuangan.

Doa kami agar mereka diterima Allah SWT sebagai para Shuhadaa’ dan dimasukkan ke dalam syurga paling tinggi di antara para Nabi, Shuhadaa’, dan di samping mereka yang alim dan benar.

bersambung..
Nov 26, 2007 by zen non
Perjalanan manusia merentas masa bermula ketika Nabi Adam alaihissalam menjejakkan kakinya kali pertama di muka bumi pada hari Jumaat. Hakikat sebenar di mana bermulanya perjalanan yang panjang ini tiadalah pernyataan jelas mengenainya. Pendapat dari Ibnu Hatim menyatakan Nabi Adam turun ke bumi yang pertama kali dipijak adalah tanah yang bernama duhna. Tanah ini terletak di antara Mekah dan Thaif. Ibnu Umar dan Abu Hatim pula mengatakan bahawa Adam diturunkan di bukit Safa dan Hawa di Marwah. Al-Hasan berkata bahawa Nabi Adam mula turun ke bumi iaitu tempat yang berada di India, Hawa di Jeddah dan Iblis di Dustimyan, suatu tempat beberapa batu dari Basrah.

Menurut as-Suda katanya bahawa Adam diturunkan di wilayah India. Adam turun bersama Hajar al-Aswad dan segenggam dedaunan syurga. Dedaunan itu lalu ditaburkan di tanah India, kemudiannya ia tumbuh menjadi pepohonan yang bermutu tinggi. Abdul Razak dari A’mar, dari Auf, dari Qusamah bin Zuhair dari Abu Musa al-Asya’ri, beliau berkata Allah membekalkan Adam dengan pengetahuan cara-cara membuat segala sesuatu dan diberi buah-buahan dari syurga. Jadi buah-buahan yang kamu rasakan hari ini berasal dari syurga. Bezanya buah-buahan ini yang tumbuh di bumi telah berubah rasanya manakala di syurga tidak berubah. Begitulah yang dikisahkan.

Puncak Adam (2,243 meter) merupakan sebuah gunung di Sri Lanka yang mempunyai pemandangan yang sangat indah pada dua masa yang berbeza. Di kala subuh, kemunculan jejari cahaya di timur sehinggalah cahaya pagi menjelang merubah warna langit adalah pementasan alam yang menawan perasaan. Di sebelah barat, matahari senjakala pula akan mempersembahkan kecantikannya. Di sini jugalah terabadi sebuah tapak kaki manusia yang mana panjangnya 5 kaki 7 inci dan lebarnya 2 kaki 6 inci.

Menurut mitos orang Hindu, tapak kaki itu adalah milik dewa Shiva dan mereka menamakan gunung itu sebagai Shivan Adi Padham. Kepercayaan Buddha seawal abad ke 300 Masehi pula menyatakan bahawa ianya ditinggalkan oleh Buddha, sementara orang Kristian Portugis yang tiba di pulau ini pada abad ke-16 Masihi mendakwa ia adalah tapak kaki St. Thomas yang mengikut dongengan mula-mula mengembangkan agama Kristian di Sri Lanka. Kemudian pengembara-pengembara Arab yang menyaksikan tapak kaki ini menyatakan bahawa ia adalah milik Nabi Adam, di mana disinilah mula-mula baginda diturunkan kerana keindahannya. Bagaimanapun, sekarang ini, tapak kaki tersebut telah ditutup dengan ukiran batu oleh orang China dan hanya satu replika tapak kaki sahaja yang kelihatan.


Di dalam Al Quran mahupun hadis tidak dinyatakan dengan tepat di mana Nabi Adam mula-mula sekali menjejakkan kakinya di muka bumi ini. Oleh yang demikian, ini bermakna di mana tempat permulaan baginda tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. ketika mula-mula diturunkan ke bumi.


bersambung minggu hadapan....Insya Allah

Rujukan: Kisah Para Nabi: Teladan bagi Orang yang Berakal nukilan Ibnu Kathir (terjemahan Bahasa Melayu oleh panel penterjemah dan disemak oleh Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Agama Istana Negara)

About This Blog

This is where I practice my writings.
Inilah tempat aku mengasah kemahiran menulis.
Segala pujian hanya kepada Allah SWT.
All praises are due to Allah The One God.

Komentar dan kritikan amat dialu-alukan.
Comments and critics are most welcome.

Pembaca boleh mengambil mana-mana artikel yang diminati, cuma jangan dinasabkan sebagai hak sendiri.
Readers may take any interesting articles, but just don't claim it as yours.