Feb 20, 2008 by zen non
by zen non
Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup

Bab 2: Pengembaraan Salman

Setibanya di Syria, Salman mencari maklumat tentang orang yang paling berpengetahuan di sana. Beliau dibawa kepada seorang biskop. Salman lantas menceritakan keinginannya untuk menganuti agama Kristian. Salman juga menyatakan kesediaannya untuk menemani dan melayani biskop itu dengan balasan biskop itu mengajarnya ilmu agama dan cara-cara beribadat.

Biskop itu bersetuju. Maka bermulalah hidup Salman sebagai budak suruhan kepada biskop tersebut. Bagaimanapun, selepas beberapa waktu, Salman mendapati biskop itu bukanlah seorang yang baik. Dia menyembunyikan emas dan perak sumbangan orang ramai untuk dirinya sendiri. Salman amat benci kepadanya. Beberapa tahun kemudian, biskop itu mati. Sejurus kematiannya, Salman memaklumkan kepada orang ramai akan perbuatan buruk biskop tersebut. Salman juga menunjukkan tempat di mana biskop itu menyorokkan tujuh buah peti berisi emas dan perak hasil dari pemberian orang ramai kepada pihak gereja. Orang ramai yang menyedari hakikat ketamakan biskop ini telah memalang mayatnya dan kemudian dilontar dengan batu.

Apabila seorang biskop yang baru dilantik, Salman terus berkhidmat di bawahnya. Biskop ini ialah seorang yang mencintai hari akhirat, bersifat warak dan suka beribadat setiap waktu. Salman amat mencintainya. Selepas beberapa tahun, biskop ini sakit tenat. Sebelum kematiannya, Salman meminta panduan berkenaan sekiranya ada orang lain yang beliau boleh berguru dengannya. Biskop itu menasihatkan Salman untuk pergi kepada seorang lelaki di Mosul. Selesai saja urusan kematian biskop itu, Salman pun pergi ke Mosul dan bertemu dengan lelaki yang disebut oleh gurunya. Salman menyambung pengajiannya di Mosul pula. Beliau tinggal bersama orang itu hinggalah ke akhir hayatnya. Bagaimanapun, gurunya yang ini juga sudah tua dan tidak lama kemudian, dia juga meninggal dunia. Sebelum itu, Salman sempat bertanyakan arah tujuannya yang seterusnya. Gurunya menyuruhnya untuk pergi kepada seorang lelaki yang warak di Nisiibiin.


Di Nisiibiin, beliau menceritakan kisahnya kepada lelaki itu, Dia tinggal bersamanya sehinggalah hayat lelaki warak itu tamat. Kemudian, daripada nasihat lelaki warak itu, Salman pergi bertemu dengan seorang lelaki di ‘Ammuriyah di dalam negara Byzantium. Salman berguru dan bekerja dengan lelaki ini. Hasil upah dari pekerjaan yang dilakukan oleh Salman, beliau memperolehi seekor biri-biri dan beberapa ekor lembu.

Semasa hampir tiba saat kematian gurunya, sekali lagi Salman bertanya kepadanya siapakah yang harus diikutinya selepas gurunya itu pergi. Gurunya menjawab bahawa tidak ada lagi pengikut ajaran Kristian yang tulen yang masih hidup selepas dia mati.

“Oh anakku, tidak lagi kutahu seorang pun di dunia ini yang mengikuti jejak yang kita ikuti sekarang. Tidak ada lagi orang yang boleh kunasihati untuk engkau pergi kepadanya. Akan tetapi kau kini melewati satu zaman yang mana akan muncul seorang nabi dari keturunan Nabi Ibrahim.”

Gurunya memberitahu Salman akan kemunculan seorang nabi yang terakhir sudah hampir. “Baginda,” kata gurunya, “adalah dari benih yang suci Nabi Ibrahim. Baginda akan berhijrah dari kampung halamannya ke sebuah bandar yang berada di tengah-tengah dua tanah yang keras yang mana akan terdapat tanaman pokok-pokok kurma yang banyak. Baginda juga mempunyai tanda-tanda yang jelas. Baginda menerima hadiah tetapi menolak sedekah. Cop kenabian terletak di antara bahunya. Jika engkau bertemu dengannya, maka kau pasti akan mengenalinya. Janganlah engkau berlengah-lengah lagi mengikuti baginda."

Tidak lama selepas pemergian gurunya yang terakhir itu, datanglah sebuah kafilah pedagang Arab melalui kota ‘Ammuriyah. Salman bertanya kepada mereka dari manakah mereka datang dan mereka menjawab mereka adalah dari puak Kalb yang berasal di Semenanjung Tanah Arab. Lantas Salman berkata,” kuberikan kamu biri-biri dan lembu-lembuku ini sebagai bayaran untuk membawaku dengan selamat ke negeri kalian.” Kafilah itu bersetuju. Salman pun mengembara bersama mereka hinggalah ke Wadi Al-Quraa.

Setibanya di sana, Salman telah dikhianati oleh kafilah tersebut. Beliau dijual kepada seorang lelaki Yahudi sebagai hamba. Lelaki Yahudi itu pula menjual Salman kepada sepupunya. Kemudian Salman dibawa ke Yahtrib. Setibanya di Yathrib, Salman mendapati banyak ladang-ladang kurma. Mengingatkan kata-kata gurunya sewaktu di ‘Ammuriyah, Salman berharap agar tempat inilah akan menjadi tempat hijrah nabi yang dicari-carinya. Akan tetapi itu bukanlah tempatnya. Salman tinggal bersama orang Yahudi itu sehinggalah suatu hari seorang Yahudi dari Bani Quraidhah datang membelinya. Salman dibawa ke sebuah ladang kurma berhampiran dengan kota Madinah. Semasa itu, Nabi Muhammad SAW sedang giat menjalankan dakwahnya di kota Mekah. Bagaimanapun perkara ini tidak diketahui oleh Salman kerana dia begitu sibuk melakukan tugas-tugasnya di ladang kurma milik tuannya.

Bertahun-tahun lamanya Salman bekerja di ladang itu. Beliau tidak boleh ke mana-mana dan tidak mengetahui apa-apa pun berita berkenaan nabi yang dicarinya. Namun, oleh kerana keyakinannya kepada pengetahuan yang dimilikinya dan kesungguhannya menimba ilmu, Salman tetap bersabar melakukan tugas-tugasnya sebagai seorang hamba. Suatu hari, sewaktu Salman berada di atas sepohon kurma untuk memetik buahnya dan tuannya sedang duduk di bawah pohon, datanglah seorang lelaki Yahudi. Dia adalah sepupu kepada tuannya. Dia datang dan berkata,

“Semoga Allah menghapuskan Bani Qubaa’. Mereka sedang menyebarkan khabar angin mengatakan kehadiran seorang lelaki di Qubaa’ yang datang dari Mekah mendakwa bahawa dia adalah seorang nabi.” Mendengar berita itu, Salman menggeletar. Pohon kurma yang dipanjatnya bergoyang-goyang. Hampir saja dia jatuh menimpa tuannya. Salman dengan segera meluncur turun. “Apa yang engkau katakan? Apakah berita itu?”, soal Salman sebaik saja kakinya mencecah bumi. Tuannya menampar Salman dengan kuat dan memarahinya. “Apa kaitannya berita ini dengan kau? Buat kerjamu!!” Lantas Salman meneruskan kerjanya.

Sesungguhnya berita ini benar-benar satu tamparan yang hebat kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Mereka sebenarnya sudah lama mengetahui akan kemunculan nabi yang terakhir ini. Oleh sebab itulah mereka tetap tinggal di Madinah dengan harapan agar nabi tersebut lahir dari kaum mereka sendiri. Alangkah tamaknya mereka sehinggakan pengetahuan mengenai nabi yang terakhir ini amat dirahsiakan dari diketahui oleh kaum lain. Akan tetapi Allah Yang Maha Berkuasa. Allah yang menentukan segala-galanya yang terjadi. Telah ditakdirkan oleh Allah bahawa nabi yang terakhir itu lahir dari keturunan orang Arab yang berbapakan Nabi Ismail alahissalam.

Pada waktu malam, Salman mengumpulkan buah-buah kurma yang jatuh dan pergi ke Qubaa’. Ketika itu Rasullullah menetap di Qubaa’ bersama Bani ‘Amr Ibn ‘Awf. Di sana, beliau bertemu dengan Rasullullah yang sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya. Salman berkata kepada Rasullullah, “Kamu amat memerlukan dan kamu adalah seorang asing di tempat ini. Aku mempunyai sedikit makanan yang ingin kusedekahkan. Apabila aku melihat tempat tinggalmu, aku merasakan kau amat memerlukannya dan aku datang untuk memberimu makanan yang aku ada ini.” Lantas Salman meletakkan buah-buah kurma tersebut. Rasullullah SAW pun bersabda kepada sahabat-sahabatnya,” Makanlah dengan nama Allah”. Baginda tidak menyentuh pun buah-buah kurma tersebut. Di dalam hati, Salman berkata, “Demi Allah, ini adalah satu petanda. Dia tidak makan sedekah!”

Keesokan harinya, Salman datang lagi bertemu Rasullullah membawa buah-buah kurma lagi. Kali ini beliau berkata, “ Aku melihat engkau tidak mengambil bahagian sedekah. Aku mempunyai sedikit makanan dan aku ingin memberimu sebagai hadiah.” Salman meletakkan buah-buah kurma itu disisi Rasullullah. Baginda berkata kepada sahabat-sahabatnya, “ Makanlah dengan nama Allah”. Dan baginda pun makan bersama mereka. Melihatkan perkara ini, Salman berkata kepada dirinya sendiri, “Benarlah ini adalah petanda kerasulan yang kedua. Baginda mengambil hadiah.” Kemudiannya Salman pun pulang.

Selama beberapa ketika Salman tidak pergi menemui Rasullullah. Suatu hari, sewaktu Rasullullah baru sahaja selesai mengebumikan seorang sahabatnya di Baqi’ Al-Gharqad, Salman datang menghampiri baginda. Semasa itu, Rasullullah sedang duduk. Baginda memakai sehelai kain dan sehelai lagi kain diletakkan dibahunya. Sahabat-sahabat duduk di sekeliling baginda. Salman mengucapkan salamnya kepada Rasullullah. Kemudian Salman membongkok untuk melihat belakang baginda. Rasullullah mengetahui apa yang ingin dicari oleh Salman. Baginda menjatuhkan kain di bahunya. Nah, terserlahlah tanda di antara bahunya, cop kenabian miliknya jelas kelihatan seperti yang dikatakan oleh gurunya di ‘Ammuriyah dahulu.

Apabila ternampak sahaja petanda yang ketiga, yakinlah Salman bahawa yang dihadapannya adalah nabi yang dicari-carinya selama ini. Beliau terus memeluk dan mencium Rasullullah. Salman menangis teresak-esak. Rasullullah menyuruh Salman duduk di sampingnya dan memintanya menceritakan kisah beliau. Rasullullah berasa kagum mendengar cerita Salman. Baginda meminta agar Salman menceritakan kisah hidupnya kepada sahabat-sahabat lain. Di saat itulah Salman akhirnya berjaya mencapai tujuannya. Beliau telah menemui lautan ilmu di sisi Rasullullah. Pengembaraannya yang jauh telah sampai ke destinasi. Segala pahit maung perjalanan hidupnya kini terasa manis sekali.

Salman telah mengucapkan kalimah syahadah di hadapan Rasullullah. Maka bermulalah kehidupan beliau sebagai salah seorang sahabat Rasullullah yang terbaik. Sahabat-sahabat yang lain memberi gelaran Salman Al-Farisi kepadanya iaitu bermaksud Salman Si Parsi.

- tamat Bab 2 -
Feb 17, 2008 by zen non
Pendahuluan
Bab 1
Bab 2
Peta
Bab 3 dan Bab 4
Bab 5 & Penutup
Bab 1: Salman di Negara Parsi

Pada zaman dahulu manusia hidup beramai-ramai di kawasan berhampiran sungai. Lebih besar sungai itu lebih banyaklah sumber makanan yang boleh diperolehi samada dari kegiatan perikanan ataupun pertanian. Ini adalah kerana sungai akan membawa tanah dari kawasan pergunungan dan kemudiannya dilimpahkan di kawasan lembah yang lebih rendah. Tanah dari gunung kaya dengan mineral yang boleh menyuburkan tanam-tanaman di darat dan juga di dalam sungai. Sungai Nil berkembar yang mengairi sembilan buah negara contohnya, mengairi dataran Afrika yang sangat luas sebelum melimpahi Laut Mediterranean. Sungai Nil Biru yang berpunca dari Tasik Tana di Ethiopia dan Sungai Nil Putih yang datang dari himpunan tasik-tasik besar di pertengahan benua Afrika telah menjadi pemangkin oleh manusia untuk mendirikan negara seawal tahun 8,000 BC, iaitu 10,000 tahun dahulu.

Sungai Euphrates dan Sungai Tigris juga merupakan sungai yang besar di atas bumi ini. Kedua-dua sungai ini berasal dari tempat yang sama, di Pergunungan Ararat dan Pergunungan Taurus di Turki seterusnya berakhir di Teluk Parsi. Manusia telah tinggal di kawasan limpahan kedua-dua sungai semenjak tahun 4,000 BC lagi. Malah menurut kisah Israiliyat, air Sungai Nil dan Sungai Tigris-Euphrates berasal dari syurga dan darinyalah air berpunca di bumi ini.

Kira-kira 2,600 tahun yang lepas, lahirlah sebuah negara yang besar dan kuat di tebing Sungai Tigris. Negara ini dikenali sebagai Empayar Parsi. Empayar ini menguasai sebahagian besar daripada tanah di Dataran Iran, barat benua Asia dan juga Asia Tengah. Empayar ini mempunyai raja-raja yang gagah dan askar-askar yang hebat di medan peperangan. Empayar ini boleh dikatakan sebagai di antara kuasa besar dunia selama kira-kira 1,250 tahun. Bagaimanapun, malangnya raja dan rakyat Empayar Parsi adalah kaum yang menyembah api. Mereka dikenali sebagai kaum Majusi atau lebih dikenali di Barat sebagai kaum Zoroastrian. Kaum ini sangat jahat dan sering melakukan kerosakan di muka bumi. Raja-raja mereka amat suka berperang dan menakluk negara-negara lain. Jika tidak ada orang-orang Rom di sebelah barat dan orang-orang Cina di sebelah timur yang kuat menahan serangan mereka, maka sudah pastilah Empayar Parsi telah menguasai seluruh dunia pada ketika itu. Begitulah ketentuan Allah Taala Yang Maha Bijaksana.

Walaupun rata-rata penduduk Parsi adalah kaum yang telah mengingkari Allah, namun dari celah-celah kesesatan itu, bangkitlah seorang insan yang berfikir tentang keagungan Tuhan dan berusaha mencari hakikat kebenaranNya. Namanya adalah Salman dan ini adalah kisah hidup beliau. Cerita perjalanan hidup Salman disampaikan sendiri oleh beliau kepada sahabat-sahabatnya dan kemudian diabadikan dalam sejarah perjalanan manusia yang gigih menuntut ilmu.

Salman dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Jai (Jayyan atau Jian) di kota Isfahan di Parsi. Nama yang diberikan oleh bapa beliau ialah Rouzbeh. Bapanya seorang yang kaya-raya, rumahnya agam dan ladangnya banyak.

Di zaman itu, rumah orang kaya-kaya adalah sangat besar, mempunyai halaman yang luas dan dipagari oleh tembok di sekelilingnya. Orang kaya-kaya ini mempunyai ramai hamba yang menguruskan kebersihan dan makan minum mereka sekeluarga. Mereka memiliki banyak harta dan tanah, menguasai perniagaan di pasar-pasar dan mempunyai jawatan yang penting di dalam kerajaan. Juga menjadi satu kebiasaan di zaman tersebut bahawa jawatan yang mereka pegang akan diwariskan kepada anak-anak lelaki mereka.

Bapa Salman juga adalah sebegitu. Bapanya bertugas sebagai Dihqan, iaitu ketua yang menjaga api di dalam kuil. Selama beratus-ratus tahun lamanya api yang mereka sembah itu tidak pernah padam. Salman juga dididik oleh bapanya untuk menggantikan tempatnya kelak sebagai penjaga api kuil. Di dalam kuil, Salman ditugaskan untuk memastikan kayu-kayu sentiasa dimasukkan ke dalam api supaya ianya tidak terpadam. Sekiranya api ini padam, sudah pastilah Salman dan keluarganya akan dihukum berat oleh raja. Walaupun tidak disukainya, Salman tetap setia melakukan tugas ini untuk menghormati perintah bapanya.

Semenjak dari kecil lagi Salman amat dikasihi dan dimanjakan oleh bapanya. Malah, disebabkan oleh terlalu sayangkan beliau, bapanya tidak membenarkan langsung Salman keluar dari rumahnya. Salman hanya dibenarkan bermain-main di dalam kawasan rumahnya. Dia tidak dibenarkan ke mana-mana melainkan ke kuil sahaja untuk menjalankan tugasnya.

Suatu hari, bapanya kesibukan dan tidak dapat menguruskan ladangnya yang sedang menghasilkan tuaian. Oleh itu, bapanya mengarahkan Salman untuk pergi melihat kerja-kerja penuaian dilakukan. Sewaktu perjalanan pergi, Salman melintasi sebuah gereja Kristian. Kedengaran oleh Salman dari dalam gereja orang-orang sedang beribadat. Lantas beliau berasa hairan. Sepanjang usianya, Salman tidak mengetahui langsung mengenai agama ini meski agama yang lain-lain.

Dengan rasa ingin tahu, Salman memasuki gereja itu. Ibadat yang mereka lakukan benar-benar menarik minat Salman untuk mempelajari agama ini. Beliau berpendapat agama Kristian adalah lebih baik dari agama yang dianutinya. Beliau terus duduk di dalam gereja tersebut hinggalah ke petang. Tugasnya di ladang langsung diabaikan. Sebelum pulang, Salman sempat menanyakan di manakah pusat perkembangan agama ini. Menurut orang-orang di dalam gereja itu, ianya berada di Negara Syria Lama.

Pada waktu malam, sekembalinya Salman ke rumah; bapanya bertanyakan perihal di ladang. Lalu Salman menceritakan pengalamannya di siang hari. Bapanya terkejut. Dia cuba meyakinkan Salman bahawa agama mereka adalah lebih bagus daripada agama Kristian. Apabila Salman membantah, beliau terus dikurung oleh bapanya dan dirantaikan kakinya. Bapanya takut bahawa kelak Salman akan menganuti agama Kristian.

Akan tetapi Salman bukanlah seorang yang mudah mengalah kepada nasib. Melalui hambanya, Salman menghantar mesej kepada beberapa orang Kristian untuk memaklumkan kepadanya andai ada kafilah dari Syria datang ke kota Isfahan. Beberapa ketika kemudian, tiba mesej kedatangan kafilah tersebut. Salman yang telah bersedia, memecahkan kunci rantai di kakinya dan keluar dari rumahnya secara sembunyi-sembunyi. Dengan berhati-hati, Salman mengikuti kafilah itu pulang ke Syria.

-tamat Bab 1-

About This Blog

This is where I practice my writings.
Inilah tempat aku mengasah kemahiran menulis.
Segala pujian hanya kepada Allah SWT.
All praises are due to Allah The One God.

Komentar dan kritikan amat dialu-alukan.
Comments and critics are most welcome.

Pembaca boleh mengambil mana-mana artikel yang diminati, cuma jangan dinasabkan sebagai hak sendiri.
Readers may take any interesting articles, but just don't claim it as yours.