Nov 23, 2013 by zen non
Artikel berikut merupakan tugasan kursus fiqh islami. Disiarkan dengan niat kerana Allah supaya dapat menjadi panduan. Tidak dibenarkan ditiru bulat-bulat, haram..haram. :)      

    Ibadah ialah kata yang terbit dari kata akar “abdi”. Abdi, atau hamba ialah seseorang yang menjadi milik orang lain. Apabila diri sudah menjadi hak kepada orang lain, seorang hamba itu perlu menyerahkan segala-gala yang dia ada kepada tuannya. Kendatipun, hakikatnya seorang hamba tidak mempunyai apa-apa kecuali dirinya dan tenaga yang mampu dijana oleh tubuhnya. Oleh itu, hamba berada dalam kedudukan yang paling rendah, hina dan tidak berhak berkata-kata seperti orang yang merdeka. Sekiranya disuruh oleh tuannya, maka hamba itu perlu melakukan apa yang disuruh tanpa membantah sedikit pun. Biarpun seluruh tenaganya telah habis dikerah, seorang hamba mesti bersedia jika dipanggil oleh tuannya untuk melakukan kerja lain. Begitulah keadaannya seorang hamba.

              Masyarakat moden sudah tidak lagi menerima konsep perhambaan. Akan tetapi, di setiap halaman kisah perjalanan hidup manusia di muka bumi ini, sering saja kita berdepan dengan kenyataan bahawasanya perhambaan itu memang pernah berlaku dari zaman ke zaman. Apabila suatu bangsa itu berkuasa ke atas satu bangsa yang lain, maka bangsa yang berkuasa akan menperhambakan bangsa yang dikuasainya. Bani Israil yang mana bapa-bapa mereka adalah rasul-rasul Allah yang hebat-hebat juga tidak terkecuali. Beratus-ratus tahun mereka diperhambakan oleh orang Qibti di Mesir. Mereka dilayan dengan buruk sekali. Anak-anak mereka dibunuh hanya kerana mimpi Firaun si raja Mesir. Lari bukanlah satu pilihan kerana maut yang menanti andainya tertangkap. Maka, demi meneruskan kehidupan, bani Israil itu terpaksa menyerah sahaja apabila diperlakukan wewenangnya sehinggalah Nabi Musa a.s. datang lalu membawa mereka keluar dari cengkaman Firaun sebagai bangsa yang merdeka.

Bagaimanapun sejarah perhambaan bukanlah bermula dari bani Israil dan tidak juga berakhir bersama tenggelamnya Firaun di dalam Laut Merah. Amat sukar untuk menentukan bila bermulanya sejarah perhambaan manusia berlaku kerana semenjak manusia sudah tahu membuat tulisan pada zaman kerajaan Babil kira-kira empat ribu tahun dahulu, sudah terpahat kisah perhambaan ini. Sejarah perhambaan terus saja selari dengan sejarah perkembangan manusia. Meskipun tidak dapat dinafikan sebab utama orang menjadi hamba adalah kerana hutang tak berbayar, paksaan dan kekerasan, namun ada saja manusia yang sanggup dan rela menjadi hamba kepada orang lain. Kesanggupan itu berakar umbi daripada kesusahan hidup yang mereka hadapi. Hanya dengan mengabdikan diri barulah mereka mampu makan sesuap roti dan mendapat perlindungan di bawah bumbung rumah tuan mereka. Lantas persoalannya di sini adakah perhambaan itu satu amalan yang buruk dan tidak sepatutnya berlaku? Sudah pasti jelas jawapannya seandainya tuan kepada hamba itu seorang yang kejam tak berperikemanusiaan. Maka dengan jawapan itu jualah masyarakat kini tidak lagi boleh menerima konsep ini sebagai lumrah kehidupan.

Akan tetapi bagaimana pula jika tuan kepada hamba itu seorang yang baik? Seorang tuan yang menjaga kebajikan hamba-hambanya dan melayani mereka dengan sewajarnya. Maka dengan itu pastilah hamba-hambanya itu suka kepada tuannya, setia dan sanggup berkorban nyawa untuknya. Begitulah keadaannya umat Islam yang sejati. Setiap umat Islam tidak boleh tidak mesti mengaku bahawa mereka adalah milik Allah, Tuhan yang Agung, yang menciptakan atom dan galaksi, yang mengizinkan manusia itu lahir lalu bernafas di bumi, kemudian menikmati rezeki yang dibawa oleh angin, turun dari awan dan yang tumbuh dari tanah. Pengakuan itu dilafazkan oleh lidah dan diyakini di dalam hati bahawa mereka adalah hamba kepada Allah di dalam kalimah syahadah. Maka jika ditambah dengan tingkah-tingkah laku yang menuruti perintah Allah, lantas termeterai satu hubungan seorang hamba dengan pemiliknya. Umat Islam yang sejati mencintai Allah sepenuh hatinya, tunduk dan patuh kepada perintah-Nya serta menyedari akan takdir segala-gala urusan hidupnya adalah di bawah kekuasaan Allah.

Oleh yang demikian, demi merealisasikan pengakuan bahawa Allah itu Tuhan yang Esa, Raja sekalian alam yang segala-galanya ada dalam perhitungan-Nya, maka di sinilah lahirnya ibadah. Dari segi bahasa, ibadah itu beerti tunduk dan patuh kepada sesuatu. Sementara dari segi syarak pula, beribadah kepada Allah bermaksud mentaati, mematuhi, merendah diri dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanallahuwataala. Umat Islam beribadah sepanjang waktu. Tak kira siang atau pun malam, umat Islam berpeluang melakukan ibadah. Untuk mengajar manusia bagaimana melakukan ibadah, Allah pun mengutuskan hamba-hamba-Nya yang terbaik budi pekertinya, yang paling taat dan elok pula perbuatan dan perkataannya sebagai pendidik yang dimuliakan. Utusan itu digelar rasul dan muncul dalam satu talian masa mengikut peredaran setiap peradaban. Bagaimanapun, talian rasul itu telah pun tamat dengan kemunculan rasul yang terakhir, Nabi Muhammad bin Abdullah SAW. 

Allah telah menghantar Nabi Muhammad SAW untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam. Rahmat kedatangan Rasulullah adalah baginda membawa perintah dan petunjuk dari Allah untuk disampaikan kepada manusia dan jin yang mana ajarannya kekal sehinggalah berakhirnya masa untuk manusia itu hidup di muka bumi. Melalui perintah dan petunjuk itu, Rasulullah mengajar umatnya bagaimana untuk mengabdikan diri kepada Allah agar mendapat rahmat Allah di dunia dan juga di akhirat serta dapat masuk ke dalam syurga dengan rahmat-Nya itu.
Melalui ibadah, seorang hamba dapat berhubung dengan Penciptanya. Hubungan spiritual ini dapat mendekatkan diri hamba kepada Allah. Namun, sepertimana mahu mendail nombor telefon seseorang, kalau tersalah masuk nombornya pastilah tidak akan sampai panggilan kepada orang yang dituju. Sehubungan dengan itu, adalah amat mustahak untuk umat Islam mengetahui cara-cara yang betul untuk beribadah kepada Allah supaya hubungan itu dapat dipelihara dan pada masa yang sama mengelakkan daripada ibadah itu tidak sampai kepada tujuannya. Oleh itu, setiap umat Islam perlu mengetahui dan memahami prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah melakukan ibadah.

Ibadah itu terbahagi kepada dua jenis iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus boleh dibahagikan kepada dua yakni ibadah asas (fardhu ain) dan ibadah fardhu kifayah. Ibadah asas terkandung di dalam lima rukun Islam. Ibadah ini wajib dilakukan oleh setiap umat Islam yang mumayyiz, akil baligh dan cukup syarat untuk melakukan ibadah tersebut. Sementara itu, ibadah fardhu kifayah pula ialah tanggungjawab sosial yang wajib dilaksanakan oleh setiap kelompok masyarakat Muslim yang tinggal bersama-sama. Contohnya seperti menguruskan ekonomi, pentadbiran, pendidikan, kebajikan, kematian dan sebagainya menurut kaedah-kaedah yang islamik. Ibadah ini perlu dilaksanakan supaya Islam boleh terus teguh berdiri di dalam kelompok masyarakat tersebut.

Secara ringkas pula, ibadah yang umum  ialah semua aktiviti manusia yang mematuhi hukum-hukum dan nilai-nilai yang terkandung dalam ajaran Islam yang sejati. Dengan kata lain, ibadah umum merupakan satu pengaturcaraan gaya hidup yang meliputi seluruh aspek-aspek kehidupan supaya sejajar dengan kehendak Allah. Keperibadian individu dan juga pembawaan harian individu termasuk dalam ibadah umum. Akhlak yang mulia seperti amanah dan kejujuran juga merupakan satu ibadah. Seperti ibu yang menyediakan sarapan pagi untuk keluarganya dan ayah yang keluar mencari rezeki setiap hari turut termasuk dalam perspektif ibadah umum. Malah, senyum kepada orang juga dikira sebagai satu ibadah. Lantas, boleh saja dikatakan ibadah umum ini adalah setiap pilihan dan setiap langkah yang diambil oleh seorang Muslim pada setiap saat.

Namun demikian, untuk satu-satu perbuatan yang dilakukan atau dielakkan itu dianggap sebagai ibadah, satu pengabdian kepada Allah, maka hendaklah dimulakan dengan niat kerana Allah semata-mata. Jika tidak, perlakuan itu tidak akan dikira sebagai satu ibadah. Kemudian, ibadah itu hendaklah ikhlas dan tidak pula timbul rasa ujub atau pun riak. Adapun ketimbulan perasaan-perasaan itu adalah di dalam hati dan hanya diketahui oleh Allah selain dirinya sendiri. Allah akan menolak ibadah yang dilakukan dengan perasaan riak dan bangga diri kerana tiada keikhlasan.

Seterusnya pula, ibadah itu mestilah menepati syarak seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Baginda mengajar umatnya beribadah berdasarkan dua sumber rujukan iaitu al-Quran dan sunnahnya. Adapun di sinilah berlakunya kelainan ketika melakukan ibadah yang sama. Ini adalah berpunca daripada sahabat-sahabat Rasulullah sendiri. Bukan setiap sahabat itu selalu berada bersama baginda sepanjang masa. Dengan itu, telah  berlaku ketidaksamaan pendapat di kalangan murid-murid para sahabat ketika mahu menghuraikan suatu hukum atau ketika mahu menyampaikan satu fatwa setelah pemergian Rasulullah. Tambahan pula untuk menghuraikan sesetengah ayat al-Quran atau hadis amat memerlukan kepada ketajaman buah fikiran. Belum lagi termasuk kewujudan hadis-hadis palsu yang beratus-ratus ribu jumlahnya. Lalu wujudlah perbezaan dalam melaksanakan ibadah. Bagaimanapun, para ulamak yang benar mempunyai cara dan formula untuk membuat rumusan yang sebaiknya ketika mahu berhujah tentang usul fiqh dan maqasid syariah. Memetik kata pendakwah tersohor, Syeikh Ahmad Deedat, “selagi mana tidak ada perubahan kepada akidah dan iman, maka perbezaan pendapat dalam pelaksanaan ibadah bolehlah dikira sebagai satu rahmat dari Allah.”

Akhir kata, saya memetik kata-kata Ustaz Nouman Ali Khan tentang kesimpulan isi al-Quran dalam dua ayat. Yang pertamanya ialah penerimaan bahawa Allah itu sebagai tuan dan diri kita sebagai hamba. Ramai orang boleh menerima kenyataan bahawa Allah itu tuan, Tuhan sekalian alam, tetapi tidak ramai yang boleh menerima dirinya sebagai hamba.  Yang keduanya ialah penerimaan bahawa al-Quran sebagai panduan yang hanya berguna kepada orang yang telah mengakui dirinya sebagai hamba kepada Allah. Seorang hamba tidak boleh melakukan sesuka hatinya, tidak seperti seorang yang merdeka. Kalau seorang itu melakukan sekehendak hatinya, maka dia tidaklah boleh dianggap sebagai hamba lagi kerana dia bertindak seperti seorang yang merdeka. Begitulah kesimpulan al-Quran yang terkandung dalam ayat kelima dan keenam surah al-Fatihah. Walaupun konsep “tuan-hamba” ini mudah untuk difahami, namun untuk menghayati dan mengamalkannya memerlukan perjuangan sepanjang hayat.

-1444 pp-
p/s: Apa yang disampaikan di atas hanyalah catatan saya sendiri. Mohon tunjuk ajar dari para pembaca
andainya ada kesilapan.  Jazakallahkhair kerana sudi membaca.

Rujukan:
  1. AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI: SYARAT DITERIMANYA
     IBADAT,PENGERTIAN IBADAH
http://al-fadhilustazmuhamadnajib.blogspot.com/2013/10/syarat-diterimanya-ibadat.html

  1. The Qur'an In Two Sentence Ustadh Nouman Ali Khan – YouTube
http://www.youtube.com/watch?v=ypuNcY8NoaQ

Sep 25, 2013 by zen non
Intro oleh seorang saudara: Ustaz Nouman Ali Khan dari Dallas, Texas.....(sorii..tak dapat salin)

Tajuk ceramah: Lesson from Surah ar-Rahman, 5 September 2013, 8-10pm, Masjid Wilayah KL

Ustaz memulakan bicara dengan menerangkan 3 kaedah untuk mencapai komunikasi berkesan.

Isi –mesti bagus

Gaya – bukan saja isi yang nak disampaikan bagus, tetapi cara penyampaian juga perlu bagus.

 Khalayak (audience) – perlu melihat dan menyesuaikan isi dan gaya dengan khalayak yang hendak disampaikan mesej.

Quran ialah kalimah dari Allah yang cukup sempurna. Ustaz menyatakan surah ar-Rahman diturunkan di Mekah, kira-kira 10 tahun selepas wahyu pertama. Pada ketika itu, orang Quraish sudah tidak tahan dengan dakwah Rasulullah saw dan mencabar baginda dengan pelbagai cabaran. Maka Allah menurunkan surah ini sebagai suatu teguran yang berseni.

Contohnya Allah mengulang ayat yang sama dalam surah ini (31x). Menurut ustaz, kalau orang yang degil, perlu ditegur & diperingatkan banyak2 kali, moga dia tersedar.

 Seterusnya, ustaz membawa khalayak mengkaji sedikit tentang isi penting surah selepas surah ar-Rahman, iaitu surah al-Waqiah.

1. Golongan yang terdahulu masuk syurga - assabiqunassabiqun

2. Golongan yang mendapat kitab dari tangan kanan - ashabul maimanah

 3. Golongan yang mendapat kitab dari tangan kiri – ashabul mash amah

4. Ciptaan Allah yang tidak terbuat oleh sesiapapun

5.  Kehebatan al-Quran

Kembali kepada ar-Rahman, ustaz menerangkan susunan isi surah ini:
1. Kehebatan al-Quran
2. Ciptaan Allah yang tidak terbuat oleh sesiapapun

3. Golongan yang mendapat kitab dari tangan kiri – ashabul mash amah

4. Golongan yang mendapat kitab dari tangan kanan - ashabul maimanah

4. Golongan yang terdahulu masuk syurga - assabiqunassabiqun

 (Subhanallah. Betapa telitinya Allah.)

Kemudian, ustaz memulakan tafsiran ayat pertama iaitu : “Ar-Rahman.” Nama Allah ini berasal dari perkataan rahmah, seperti ibu yang mengandung menjaga rahimnya sebaik mungkin. Jadi Ar-Rahman bermaksud Allah itu paling tinggi belas kasihan-Nya, melimpah-limpah rahmat pada ciptaan-Nya tak kira beriman atau tidak. Ar-Rahman ini bersifat sekarang iaitu kasih sayang Allah itu diturunkan pada masa ketika ini pada setiap hamba hamba-Nya. Oleh itu wajarlah kita bersyukur dengan apa yang kita sudah ada sekarang dan bukan komplen yang macam2.

 Ustaz juga menasihati kita untuk merendah diri kepada ibu bapa kita kerana mengingatkan kasih sayang Allah pada kita.

 (Ar-Rahim membawa maksud berlainan, sila rujuk Surah Fatihah - Points to Ponder | Nouman Ali Khan http://www.nakcollection.com/1/post/2013/01/surah-fatihah-points-to-ponder-nouman-ali-khan.html )

Selanjutnya, ustaz membawa khalayak kepada ayat terakhir dalam surah ar-Rahman.

“Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.” (Ar-Rahmaan 55:78)

Ustaz memfokuskan pada perkataan al-Jalal (nama Allah) yang membawa maksud Pemilik kebesaran. Nama ini khusus untuk Allah sahaja. Kesimpulan ayat terakhir surah ini ialah nama Allah itu penuh dengan baraqah.

Baraqah ialah sesuatu yang bertambah, maju ke depan. Baraqah adalah seperti satu biji benih, yang tumbuh darinya bukan hanya sebatang pokok tetapi banyak pokok, yang semuanya berbuah dan pokok-pokok itu kekal, tidak pergi ke mana-mana. Buatlah kebaikan dengan nama Allah untuk mendapatkan baraqah. (mungkin ustaz bermaksud memulakan satu perbuatan itu dengan niat dahulu). Setiap orang muslim perlu bersikap optimistik. Jangan memandang rendah apa saja perbuatan yang dilakukan.

 Dalam menerangkan hubungan ayat kedua dengan ayat ketiga pula, ustaz membawa khalayak kepada surah al-A’laa.

“Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya). (Al-A'laa 87)”

Dalam surah al A’laa, Allah memberitahu tentang penciptaan dahulu (ayat kedua) dan kemudian baru menyatakan petunjuk (ayat ketiga). Tetapi dalam surah ar-Rahman berlaku sebaliknya.

“Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia lah yang telah menciptakan manusia; - (Ar-Rahmaan 55:2-3)”

Allah memberitahu bahawa Dia ialah guru yang mengajar manusia melalui al-Quran. Ustaz memberi perumpamaan seorang yang sedang memandu kereta di sebatang lebuh raya yang lengang. Hanya ada pemandu itu sahaja. Kemudian, dari radio kereta satu pengumuman memberitahu pemandu terdapat satu kemalangan teruk di lebuh raya itu dan didapati jaraknya 2 kilometer dari pemandu tersebut. Lalu adakah pemandu itu akan mengambil jalan keluar yang pertama dijumpainya atau dia terus memandu dan tidak percayakan pengumuman tersebut dan kemudian apabila tiba di tempat kemalangan dia menyesal (menepuk dahinya)?

Sesungguhnya manusia itu boleh berfikir walaupun belum melihatnya kalau dia boleh memahami mesej yang dibawa.

Ustaz bercerita lagi. Dahulunya dia seorang pensyarah bahasa arab di sebuah kolej dan kebanyakan pelajarnya adalah bukan muslim. Satu hari dia membuat persediaan yang mencukupi untuk mengajar satu bab yang susah. Tetapi selepas dibentangkan dalam kelas, dia bertanya ada sesiapa yang tak faham?

Ada seorang pelajar menjawab dia tak boleh tangkap apa yang ustaz ajar. Ustaz pun menerangkan semula sedaya upayanya dengan kaedah2 lain pula. Tetapi pelajar itu masih belum dapat tangkap lagi. Lalu ustaz menyuruhnya datang belajar dengannya pada waktu rehat tengah hari. Pun masih pelajar itu tak faham selepas diajar lagi. Lantas ustaz menyuruhnya datang malam nanti ke rumahnya untuk belajar lagi. Namun, pelajar itu masih mengatakan saya tak boleh tangkap apa ustaz ajar ni. Andai sedemikian, ustaz mengatakan bukanlah dia tidak faham, tetapi sengaja buat-buat tak faham. Tak berusaha memahami.

Allah melimpahkan rahmat-Nya malah kepada orang-orang jahiliah yang membenci Rasulullah saw. Al-Quran itu diturunkan kerana kasih sayang Allah. Quran ialah satu manifestasi kasih sayang Allah. Masalah remaja di seluruh dunia kini adalah mereka telah terputus daripada Quran. Sebenarnya, sesiapa pun boleh belajar Quran.

Ustaz memberitahu semasa dia remaja di kolej dahulu dialah orang yang paling malas belajar. Dia akan memilih kelas yang mana kawannya ada supaya dia boleh menumpang usaha kawannya. Tetapi dia berjaya sampai ke Malaysia ini kerana pada satu titik dalam hidupnya dia telah mula membaca dan memahami isi kandungan Quran.

Ustaz memberitahu lagi, “Invite those people, make them welcome, this is what we have to do... Don’t be angry to those people who don’t pray. You have to care for them. Stop being angry... Allah do not close His invitation to the kuffars, so why should we close them.. “

 Kemudian ustaz menjelaskan bahawa perkataan Al-insan dalam ayat ketiga ar-Rahman membawa dua makna. Yang pertama berasal dari kata Nasiya, maknanya untuk dilupakan. Jadi insan bererti dia yang terlupa.

Yang keduanya berasal dari kata Uns, yang mencari cinta. Manusia itu mudah lupa dan manusia itu perlu kepada kasih sayang. Belajarlah bahasa Quran, carilah mesej cinta di dalam Quran dan bacalah warkah dari Allah ini sepanjang masa.

Pasanglah niat dan Allah akan menjadikan mudah untukmu. Akhir sekali, ustaz mengajak khalayak untuk melihat websitenya iaitu http://www.nakcollection.com/ 
http://bayyinah.com/

   dan kalau mahu belajar bahasa Arab bersama-sama dengan anaknya, Husna sila kunjungi: http://www.bayyinah.tv/sp/9942-bayyinah-tv

  (Sekian, wassalam. Yang dalam kurungan adalah dari saya sendiri. Dengan penuh kerendahan diri aku mengundur diri, kalau tahhapehape tu dari akulah, kalau betul dan bagus tu dari Allah semata-mata, dengan rahmat kasih sayangnya yang melimpah-limpah membuatkan aku rajin menulis pasal syarah ustaz. Semoga Allah merahmati ustaz dan keluarganya sentiasa dan memudahkan urusannya menyebarkan dakwahnya ke seluruh dunia)

-Penjejak Masa Dalam Kosmos-

About This Blog

This is where I practice my writings.
Inilah tempat aku mengasah kemahiran menulis.
Segala pujian hanya kepada Allah SWT.
All praises are due to Allah The One God.

Komentar dan kritikan amat dialu-alukan.
Comments and critics are most welcome.

Pembaca boleh mengambil mana-mana artikel yang diminati, cuma jangan dinasabkan sebagai hak sendiri.
Readers may take any interesting articles, but just don't claim it as yours.